
Menurut pengarah eksekutif Majlis Kebangsaan Bagi Orang Buta Malaysia itu, ia lebih baik berbanding memberi bantuan wang tunai.
Peralatan yang dimaksudkan adalah khusus untuk OKU, termasuk alat menulis bagi orang buta atau peranti yang boleh menukarkan teks ke dalam bentuk audio.
Bercakap kepada FMT, Choo berkata pada masa ini, kerajaan memberi bantuan wang tunai kepada golongan OKU, tetapi proses ini remeh kerana banyak sumber dibazirkan bagi menentukan pihak benar-benar layak menerima bantuan.
Pada masa ini, beliau berkata hanya OKU dengan pendapatan di bawah RM1,200 sebulan layak untuk elaun sebanyak RM300.
Beliau berkata, jika kerajaan memberi golongan ini bantuan peralatan yang betul untuk menjalani kehidupan normal, ia dijamin lebih baik dan mengurangkan keperluan pemberian wang tunai.
“Ini juga akan mengurangkan peluang penyalahgunaan dan penyelewengan. Peralatan untuk OKU mahal. Oleh itu, sukar bagi mereka untuk membelinya. ”
Choo berkata kerajaan boleh mempertimbangkan dengan mencontohi inisiatif negara seperti Amerika Syarikat dan Jepun, di mana kerajaan menyediakan peralatan bagi orang buta yang berjaya mendapat pekerjaan.
“Kami berharap kerajaan dapat mempertimbangkan melakukan sesuatu yang serupa. Kita perlu peralatan yang betul untuk bergerak ke hadapan dan berdikari,” katanya sambil menambah dengan teknologi, orang buta tidak memerlukan lagi Braille.
Mengenai isu terhadap usaha memastikan lebih ramai OKU menyertai tenaga kerja, Choo berkata tidak bersetuju dengan sistem kuota.
Sebaliknya, ia lebih baik jika semua syarikat mempertimbangkan OKU apabila mengambil pekerja.
Beliau juga berkata kerajaan perlu mengubah pendekatan terhadap isu OKU, terutama apabila melibatkan pengisytiharan status kecacatan seseorang.
Pada masa ini, beliau berkata tidak wajib bagi OKU mengisytiharkan keadaan mereka dan ini menimbulkan beberapa isu.
“Jika kita tidak mewajibkan rakyat mengisytiharkan ‘kurang upaya’ mereka, maka kita tidak akan benar-benar tahu berapa ramai OKU dalam negara dan membuatkan ia lebih sukar untuk memaksimumkan usaha bantuan.”
Beliau berkata terdapat juga isu mereka yang tidak mahu mengisytiharkan kecacatan kerana takut disekat daripada aktiviti tertentu seperti memandu.
“Oleh itu, kita mungkin mempunyai situasi di mana orang buta atau akan buta tetapi enggan mengisytiharkan ketidakupayaan mereka dan akhirnya menyebabkan kemalangan di jalan raya.”
Choo berkata kerajaan perlu mendekati NGO yang berkhidmat kepada OKU untuk memperkasakan dasar berkaitannya.
Malangnya, beliau berkata di Malaysia, isu berkaitan OKU sering dianggap kurang penting berbanding melibatkan kaum dan agama.