

Cadangan pindaan Hadi itu juga dikenali sebagai RUU 355, bertujuan memberi kuasa lebih luas kepada Mahkamah Syariah untuk menjatuhkan hukuman bagi kesalahan yang termaktub dalam akta tersebut.
Menurut kira-kira 70 orang yang berkumpul di luar bangunan Parlimen pagi ini, adalah menjadi tanggungjawab ahli Parlimen Islam untuk mewakili kawasan mereka dan mengundi usul itu.
Mereka juga berkata bukan Islam tidak perlu campur tangan dalam perkara itu kerana ia tidak melibatkan mereka.
“Kami mewakili 500 NGO Islam menyatakan sokongan terhadap usul ahli Parlimen Marang (Hadi).
“Kami mengadakan jelajah seluruh negara, termasuk Sabah dan Sarawak sejak Mei tahun ini, untuk menerangkan cadangan pindaan kepada orang ramai. Majoriti daripada mereka menerima penjelasan kami.
“Timbalan perdana menteri sudah tegaskan isu ini hanya menyentuh umat Islam, tidak libatkan bukan Islam. Mereka tidak perlu bimbang dan war-warkan yang ia berkaitan hudud dan sebagainya,” kata Timbalan Presiden Isma, Aminuddin Yahaya.
Apabila ditanya mengenai bilangan penentangan daripada kaum Melayu yang tinggi, Aminuddin berkata setiap langkah ke arah yang baik akan menghadapi beberapa cabaran.
Bagaimanapun, kumpulan itu bersedia mengadakan sesi dialog bagi menangani sebarang kebimbangan orang ramai.
“Tetapi jika terdapat mana-mana ahli Parlimen Islam yang menentang usul ini di dalam Dewan Rakyat, kita senaraikan nama mereka dan turun ke kawasan masing-masing pada pilihan raya umum akan datang. Kami akan menjelaskan kepada pengundi, inilah pemimpin yang selama ini menentang pemerkasaan undang-undang Islam,” kata Aminuddin.
“Apa tujuan mereka berada dalam Parlimen? Kenapa pilih mereka?
“Ini adalah kata 2 daripada kami terhadap mereka. Mereka tidak mempunyai sebab menghentikan usul itu daripada dibentangkan di Dewan Rakyat.”
Mengenai perubahan pendirian Hadi, di mana beliau kini berkata pindaan itu termasuk had kepada hukuman yang Mahkamah Syariah boleh menjatuhkan, Aminuddin berkata mereka akan membiarkan perkara teknikal kepada jawatankuasa bertanggungjawab untuk mengemaskini butiran.
“Kami hanya mahu ia diluluskan di Dewan dahulu.”
PAUTAN: