Himpunan haram: Exco Pemuda Umno sedia terima tindakan disiplin

Himpunan haram: Exco Pemuda Umno sedia terima tindakan disiplin

Armand berharap isu itu tidak dispekulasikan lebih lanjut dan meminta menunggu sehingga keputusan MT Umno keluar.

armand
PETALING JAYA: Exco Pemuda Umno Datuk Armand Abu Hanifah bersedia dipanggil untuk menghadap Majlis Tertinggi Umno bagi memberi penjelasan mengenai pembabitannya dalam himpunan pada 19 November lalu.

Bagaimanapun, sehingga hari ini beliau masih belum menerima sebarang surat ataupun tuntutan penjelasan daripada partinya itu.

“Saya sentiasa bersedia (untuk dipanggil memberi penjelasan), InsyaAllah. Setakat hari ini masih belum (menerima surat tindakan tatatertib daripada Umno),” katanya kepada FMT.

Sebelum ini, Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor menegaskan akan mengambil tindakan ke atas ahli parti yang didapati menyertai perhimpunan haram.

Tengku Adnan berkata, pihaknya juga sedang meneliti rakaman perhimpunan itu bagi mengenal pasti ahli yang menyertai Bersih 5 dan Baju Merah, sebelum dibawa kepada Lembaga Disiplin Umno.

Armand bagaimanapun berharap isu ini tidak dispekulasikan lebih lanjut dan meminta supaya menunggu sehingga keputusan MT Umno keluar.

“Tunggu sahaja keputusan MT,” katanya lagi.

Armand sebelum ini dilihat secara jelas terbabit dalam gerakan Baju Merah malah turut memimpin kira-kira 1,000 penyokong di ibu negara pada 19 November lalu.

Armand turut ditahan pihak polis sejurus sebelum kumpulan Baju Merah bersurai di Padang Merbok, pada sebelah petangnya. Bagaimanapun, beliau dibebaskan pada 21 November.

Tengku Adnan turut kecewa dengan tindakan bekas perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan bekas timbalan perdana menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang menyertai perhimpunan berkenaan.

“Saya pun tak faham, dulu cakap ini semua tak patut berlaku. Saya rasa mereka ini angkuh dan terlalu kecewa. Percayalah pada qada dan qadar,” kata Tengku Adnan.

Ku Nan: Tindakan disiplin menanti ahli Umno sertai himpunan merah, kuning

 

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.