Ahli politik tak jaga mulut beri kesan kepada pelajar sekolah

Ahli politik tak jaga mulut beri kesan kepada pelajar sekolah

Disebabkan penyebaran maklumat yang pantas, murid sekolah zaman ini lebih terdedah kepada laporan berita dan ini sedikit sebanyak mempengaruhi kelakuan mereka.

james-nayagam
PETALING JAYA: Ahli politik perlu berhati-hati mengeluarkan kenyataan berbaur perkauman kerana ia boleh mempengaruhi generasi muda termasuk pelajar sekolah.

Aktivis kanak-kanak James Nayagam berkata murid sekolah rendah selalu ada perasaan ingin tahu mengenai isu semasa, dan apabila berada di peringkat menengah, mereka sudah mula mengeluarkan kenyataan perkauman sesama rakan.

“Di peringkat kolej dan universiti, saya sudah dapat melihat pengasingan itu,” katanya.

Baru-baru ini, akhbar New York Times mendedahkan pelajar di kebanyakan sekolah di Amerika Syarikat lebih terbuka menyerang masyarakat minoriti selepas kemenangan Donald Trump dalam pilihan raya presiden.

Menurut James, maklumat terlalu mudah untuk diperoleh menyebabkan kanak-kanak zaman ini lebih pantas terdedah dengan apa berlaku di keliling mereka.

“Orang berbincang mengenai situasi hari ini di rumah, ketika aktiviti sosial, tempat ibadat dan kanak-kanak terdengar tentang apa yang sedang berlaku,” katanya.

James berkata sesetengah guru turut cuba mempengaruhi kanak-kanak ketika bertukar pendapat di dalam bilik darjah.

“Sesetengah guru taktikal dan tahu bagaimana mengendalikan situasi itu, tetapi ada yang tidak dilatih untuk keadaan seperti itu.

“Saya tahu ada sekurang-kurangnya 100 guru dipindahkan kerana pendirian politik mereka,” katanya.

Sementara itu, Tajuddin Rasdi dari Universiti UCSI berkata faktor utama untuk memastikan pelajar lebih diterima dalam kalangan rakan sekelas yang berbeza bangsa terletak pada kurikulum sekolah.

Katanya, sekolah terlalu menekankan subjek tradisional seperti matematik dan sains, dan kurang bagi program mengajar pelajar untuk memahami dan meraikan perbezaan.

“Jika kita ikut kurikulum semasa bagi Sejarah, Matematik dan Geografi kita akan masih membincangkan isu sama seperti 50 tahun lalu.

“Saya sudah lihat perubahan dalam Pelan Pembangunan Pendidikan dan saya tidak nampak apa-apa untuk menangani perkara yang dibangkitkan.

“Mereka bercakap tentang pembelajaran, penggunaan komputer dan perkara fizikal,” katanya.

Tajuddin berkata di negara yang lebih maju, sekolah memperkenalkan subjek seperti sains sosial dan kebimbangan terhadap alam sekitar.

“Subjek tradisional ini ketinggalan zaman dan ia mengasingkan pelajar daripada banyak perkara lain. Kita patut risau dengan kandungan kurikulum kita, bukannya perkakasan komputer,” katanya.

 

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.