
Beliau ditahan pada malam sebelum perhimpunan Bersih 5, Sabtu lepas.
Maria mahu dibebaskan daripada tahanan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) (Sosma) 2012, serta-merta.
Maria menamakan pegawai penyiasat Tham Lai Kuan, ketua polis negara, Kementerian Dalam Negeri dan kerajaan sebagai responden dalam permohonan itu.
Datuk Ambiga Sreenevasan selaku peguamnya berkata mereka memfailkan sijil perakuan segera untuk mempercepatkan perbicaraan.
Dalam afidavit sokongannya, anak Maria, Azumin Yunos menegaskan penahanan ibunya tidak mengikut Perlembagaan.
“Responden gagal menyatakan sebab-sebab beliau ditahan di bawah Sosma,” kata Azumin.
Katanya, siasatan dan penahanan ibunya bertentangan dengan akta dan mana-mana individu tidak boleh ditahan kerana kepercayaan politik mereka.
Terdahulu, pada sidang akhbar, Azumin melahirkan harapan habeas corpus itu sebagai langkah kepada kebebasan ibunya.
Beliau membuat laporan polis pada Isnin berdasarkan dakwaan yang Maria dilayan teruk dalam tahanan.
Pihak berkuasa menahan ketua Bersih di bawah Sosma bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 124C.
Ini merujuk kepada percubaan melakukan aktiviti yang memudaratkan demokrasi berparlimen.
Kumpulan 25, berkata dalam satu kenyataan berkata, ia dimaklumkan Maria diletakkan di dalam kurungan tanpa tingkap, berukuran 15 kaki x 8 kaki, tanpa katil, tilam atau bantal.
Beliau terpaksa tidur di atas lantai bersimen keras.
“Sukar dipercayai kerajaan boleh bertindak kepada wanita yang tidak bersalah. Ibu kepada 3 anak, diperlakukan secara kejam, tidak berperikemanusiaan dan menjatuhkan martabat,” kata G25 pada Selasa.
PAUTAN: