Kenapa tahan Maria di bawah Sosma, soal peguam

Kenapa tahan Maria di bawah Sosma, soal peguam

Sivarasa berkata, penahanan 28 hari tanpa perbicaraan di bawah Sosma adalah keterlaluan untuk Maria.

Sivarasa-Rasiah
PETALING JAYA:
Polis boleh hanya mengambil keterangan Maria Chin Abdullah sebagai sebahagian daripada siasatan mereka berbanding menahannya di bawah akta keselamatan, kata peguamnya, Sivarasa Rasiah.

“Kenapa perlu menggunakan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (Sosma) yang membenarkan polis menahan beliau maksimum 28 hari?” soalnya.

Beliau memberi contoh kes penerbit The Edge dan ketua pegawai eksekutifnya, Ho Kay Tat di mana keterangannya direkodkan tahun lalu bagi membantu siasatan siaran laporan akhbar kewangan itu berhubung 1MDB.

Ho dikatakan melakukan aktiviti memudaratkan demokrasi berparlimen, kesalahan di bawah Seksyen 124B Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun.

Maria ditahan Jumaat lalu atas cubaan melakukan kesalahan sama, menjelang perhimpunan Bersih 5 di Kuala Lumpur, kelmarin.

Kesalahan itu di bawah Seksyen 124C Kanun Keseksaan membawa hukuman penjara sehingga 15 tahun, jika sabit kesalahan.

Bagaimanapun, polis bergantung kepada Sosma, undang-undang prosedur yang digunakan terhadap suspek militan dan pengganas bagi menjalankan siasatan mereka selepas menahan Maria.

Sementara itu, peguam Muhammad Rafique Rashid Ali berkata, penahanan maksimum 28 hari di bawah Sosma adalah satu bentuk penyalahgunaan proses undang-undang terhadap hak dan kebebasan pengerusi Bersih 2.0 itu.

“Seorang suspek disiasat kerana membunuh, mengedar dadah atau memiliki senjata api akan direman untuk tempoh maksimum 14 hari sebelum didakwa atau dibebaskan, tetapi dalam kes Maria, beliau boleh ditahan selama 28 hari,” katanya.

Beliau berkata, tiada semak dan imbang di bawah Sosma kerana pegawai penyiasat akan menyerahkan suspek kepada pegawai berpangkat Superintenden yang mempunyai pilihan untuk melanjutkan tempoh tahanan suspek.

Rafique berkata, tindakan Maria mendapat sokongan sebagai persediaan bagi perhimpunan yang bakal diadakan terletak di bawah Akta Perhimpunan Aman, tidak boleh ditafsirkan sebagai perbuatan persediaan memudaratkan demokrasi.

“Penahanan beliau adalah satu tindakan untuk menakut-nakutkan penentang kerajaan,” katanya sambil menambah tiada keperluan membuat tangkapan memandangkan aktiviti Maria yang memimpin Bersih 2.0 untuk menganjurkan perhimpunan itu berada dalam rekod.

Peguam, Mohamed Haniff Khatri Abdulla berkata, peguam Maria boleh memfailkan permohonan habeas corpus, tetapi cabaran itu hanya terhad kepada kesilapan prosedur dalam tahanan.

PAUTAN:

Ambiga ikrar guna semua cara bebaskan Maria

Peguam terkejut Maria ditahan di bawah Sosma

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.