Akhiri tindakan tukar agama anak sebelah pihak baik untuk Islam

Akhiri tindakan tukar agama anak sebelah pihak baik untuk Islam

Datuk Seri Nazri Aziz berkata Islam tidak patut dipergunakan sebagai alat untuk sesetengah individu melepaskan tanggungjawab mereka terhadap pasangan.

nazri-aziz_law_child_600
KUALA LUMPUR:
Datuk Seri Nazri Aziz hari ini berkata cadangan pindaan Akta Undang-undang Membaharui (Perkahwinan dan Perceraian) untuk mengakhiri penukaran agama kanak-kanak sebelah pihak kepada Islam, bagus untuk agama.

Menteri pelancongan dan kebudayaan itu berkata sebagai umat Islam beliau gembira dengan cadangan pindaan itu kerana ia baik untuk Islam.

“Saya tidak mahu Islam dipergunakan sebagai alat untuk individu keluar daripada tanggungjawab mereka terhadap pasangan.

“Mereka tidak boleh bertukar agama dengan tanggapan tidak perlu lagi menjalankan tanggungjawab,” katanya kepada wartawan di Parlimen hari ini.

Nazri yang juga menteri undang-undang dari 2004-2013 diminta mengulas susulan cadangan pindaan akta itu dibentangkan di Parlimen hari ini.

Pindaan itu juga akan memerlukan kebenaran kedua-dua ibu dan bapa sebelum anak mereka boleh ditukar agamanya kepada Islam, meskipun salah seorang daripada pasangan sudah memeluk Islam.

Penukaran agama sebelah pihak menjadi topik hangat selepas 2 wanita Hindu, M Indira Gandhi dan S Deepa terbabit dalam perkelahian hak penjagaan anak antara agama selepas bekas suami memeluk Islam dan menukar agama anak mereka.

Rang undang-undang itu juga membabitkan pindaan terhadap pengurusan harta sepencarian.

Putrajaya bentang RUU henti penukaran agama Islam sebelah pihak

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.