
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Penerangan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri Datuk Md Jais Sarday berkata rentetan itu, pihaknya merancang untuk melaksanakan beberapa program di bawah dasar Memartabatkan Bahasa Melayu dan Memperkukuh Bahasa Inggeris (MBMMBI).
Antaranya ialah Program 5 Bintang UPSR (Ujian Pencapaian Sekolah Rendah) dan SPM (Sijil Pelajaran Malaysia) yang menghendaki setiap daerah mengenal pasti sebanyak 5% calon yang berada pada tahap gagal-lulus (GALUS) untuk diberi bimbingan khusus melalui bengkel 2 hari, katanya.
Beliau berkata bengkel itu dikendalikan oleh guru cemerlang dan jurulatih utama dari sekolah-sekolah di daerah masing-masing, yang bertujuan meningkatkan peratusan lulus bahasa Inggeris sekurang-kurangnya sebanyak 5%.
Md Jais berkata pihaknya turut mengadakan Program Penulisan Berkesan untuk UPSR dan SPM bagi mendedah dan memperkukuh guru-guru bahasa Inggeris dengan pelaksanaan penulisan tersebut.
“Guru berkenaan akan melaksanakan program ini di sekolah masing-masing selama 6 minggu. Selepas 6 minggu, mereka akan melaporkan prestasi pencapaian murid masing-masing,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Datuk Syed Sis Syed Abd Rahman (BN-Tanjung Surat) dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri, di sini hari ini.
Syed Sis bertanyakan usaha-usaha dilakukan Jabatan Pendidikan negeri dalam meningkatkan pencapaian pelajaran bahasa Inggeris ke tahap yang lebih baik bagi semua sekolah di negeri ini.
Menurut Md Jais, selain daripada program itu, pihaknya melalui Yayasan Pelajaran Johor juga bekerjasama dengan Universiti Teknologi Malaysia bagi menganjurkan program pemerkasaan bahasa Inggeris yang diberi nama ‘Penggayaan Bahasa Inggeris Negeri Johor’.
“Sebanyak RM1 juta telah diperuntukkan untuk menjayakan program ini dengan penglibatan 11 daerah pendidikan.
“Tujuannya tidak lain tidak bukan iaitu melihat pelajar-pelajar di Johor mampu bertutur dan menguasai bahasa Inggeris serta dengan secara tidak langsung, dapat bersaing di peringkat antarabangsa,” katanya yang merupakan Adun Mahkota.