Ringgit dijangka terus susut minggu depan, kata penganalisis

Ringgit dijangka terus susut minggu depan, kata penganalisis

Penganalisis berkata, dolar AS mengukuh berikutan data ekonomi AS yang positif mencetuskan jangkaan kadar faedah lebih tinggi.

ringgit-dollar
KUALA LUMPUR:
Ringgit dijangka meneruskan trend menurun minggu depan dan kekal pada 4.4 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) berikutan kebimbangan yang semakin meningkat mengenai kemungkinan kenaikan kadar faedah oleh Rizab Persekutuan (Fed) AS pada Disember.

Naib Presiden dan Ketua Penyelidikan Affin Hwang Investment Bank, Datuk Dr Nazri Khan Adam Khan berkata, dolar US mengukuh berikutan data ekonomi AS yang positif mencetuskan jangkaan kadar faedah lebih tinggi.

“Berikutan mesyuarat Fed semalam, adalah pasti sekarang yang dengan pengukuhan dolar, kadar faedah AS dijangka meningkat bulan depan dan ini akan menarik ‘wang panas’ daripada bon yang didenominasi ringgit ke dalam bon didenominasi dolar AS,” katanya.

Kenyataan Fed mengenai kenaikan kadar faedah “tidak lama lagi” menggalakkan pelabur beralih kepada dolar,” tambahnya.

Nazri juga berkata, sentimen lemah lain seperti harga minyak global mungkin melemahkan mata wang tempatan minggu depan.

Harga minyak jatuh pada Jumaat ketika pengukuhan dolar memberi harapan yang Opec akhirnya akan bersetuju mengurangkan pengeluaran.

Minyak mentah Brent susut 32 sen kepada AS$46.17 setong manakala minyak mentah AS West Texas Intermediate turun 47 sen kepada AS$44.95 setong.

Bank Negara Malaysia (BNM) sebelum ini sudah pun mengambil beberapa langkah bagi menangani turun naik dalam pasaran pertukaran asing.

Penolong Gabenor BNM, Adnan Zaylani Mohamad Zahid juga memberi jaminan yang Malaysia berada dalam kedudukan jauh lebih baik untuk mengelak spekulasi ke atas ringgit, dengan mewujudkan tabungan sejak krisis kewangan Asia 1997/1998.

Untuk minggu baru berakhir, ringgit ditutup lebih rendah kepada 4.4140/4190 berbanding dolar AS daripada 4.2800/2900 Jumaat lepas, tetapi ditutup bercampur-campur berbanding mata wang utama lain.

Ringgit meningkat berbanding yen kepada 3.9874/9948 Jumaat lalu daripada 4.0199/0308 tetapi menurun berbanding dolar Singapura kepada 3.0962/0008 daripada 3.0372/0458 minggu lepas.

Unit tempatan susut kepada 4.6780/6837 berbanding euro daripada 4.6519/6632 dan jatuh berbanding pound Britain kepada 5.4734/4813 daripada 5.4168/4299 sebelum ini.

Ringgit ditutup rendah berbanding dolar AS

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.