
Pemerhati politik Profesor Madya Jeniri Amir dari Universiti Malaysia Sarawak, berkata selain 7,000 pegawai polis yang bertugas pada perhimpunan, kedua-dua pihak berjaya juga mengawal penyokong masing-masing untuk memastikan tiada perbalahan.
“Dalam perhimpunan seperti ini, mereka perlu kekal rasional dan tidak membenarkan emosi mengambil alih,” katanya.
“Kita perlu belajar daripada perhimpunan di Thailand di mana keganasan menjadi imej negatif pergerakan itu. Saya berharap ini (keamanan) berlangsung hingga akhir perhimpunan.”
Beliau berkata, jika keamanan mampu bertahan sehingga akhir perhimpunan, ia membuktikan orang ramai boleh mengadakan perhimpunan tanpa keganasan.
Faisal S Hazis daripada Universiti Kebangsaan Malaysia berkata, rakyat Malaysia tanpa mengira latar belakang dan kedudukan politik yang berbeza, kebanyakannya bersikap tenang antara satu sama lain selagi mereka tidak diprovokasi golongan elit politik.
Beliau menjangkakan keamanan berterusan sepanjang tempoh perhimpunan tersebut kerana kumpulan Baju Merah yang menurutnya bersikap lebih provokatif pasti tidak mahu memberi peluang untuk menarik simpati kepada peserta Bersih 5.
“Saya fikir pemimpin kumpulan Baju Merah menyedari ketegangan dan pencerobohan ke perhimpunan Bersih hanya mungkin membuat ia lebih menonjol.”
Beliau berpendapat ketegangan dilakukan Baju Merah pada perhimpunan itu hanya untuk mendapatkan lebih perhatian.
Sementara itu, Profesor Madya Awang Azman Pawi dari Universiti Malaya percaya terdapat sebab lain mengapa kumpulan Baju Merah setakat ini tidak memulakan sebarang kekecohan seperti yang sering diancam.
Ini kerana katanya, bukan sahaja polis memantau, Barisan Nasional (BN) juga tidak menyokong Baju Merah.
Beliau memberi contoh kes baru-baru ini di mana Ketua Wanita MCA Heng Seai Kie menggesa polis mengambil pendirian lebih tegas terhadap kumpulan Baju Merah dan pemimpinnya Datuk Seri Jamal Yunos.
Menurutnya, MCA tidak bersetuju dengan perhimpunan Bersih 5 tetapi terkejut dengan ancaman Jamal untuk “mencincang” pemimpin PKR.
Jamal dilaporkan mengancam untuk “mencincang” penyokong Ketua Wanita PKR, Zuraida Kamaruddin.
Awang turut mengambil maklum bilangan besar penyokong Bersih berbanding kumpulan Baju Merah.
“Peserta Bersih lebih dominan dan ia terdiri daripada rakyat Malaysia yang berbilang kaum,” katanya.