
Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Hilmi Yahaya berkata ia akan dilaksanakan dengan kerjasama Persatuan Ibu Tunggal Malaysia.
“Kami telah berbincang dengan Persatuan Ibu Tunggal Malaysia berkenaan cadangan tersebut dan mereka bersetuju.
“Tapi kita tetapkan setiap rumah hanya menjaga 3 bayi. Kita akan menyediakan latihan penjagaan dan penyusuan bayi terlebih dahulu sebelum mengeluarkan sijil untuk mereka mula beroperasi,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Majlis Konvensyen Kumpulan Sokongan Penyusuan Susu Ibu 2016 peringkat Kebangsaan, di sini hari ini.
Beliau turut mencadangkan pemberian insentif kepada ibu bapa yang menghantar anak mereka ke pusat jagaan yang dikendalikan ibu-ibu tunggal bagi menggalakkan lagi usaha tersebut.
Dr Hilmi berkata, melalui cadangan itu kos penjagaan bayi boleh dikurangkan kepada RM300 seorang berbanding RM700 hingga RM800 pada masa ini, selain dapat membantu ibu-ibu tunggal yang tidak bekerja untuk menjana pendapatan.
“Jadi dengan harga yang lebih murah, ibu bapa yang bekerja dengan pendapatan rendah masih mampu untuk menghantar anak mereka ke pusat jagaan,” katanya.
Terdahulu, Dr Hilmi dalam ucapannya berkata situasi penyusuan susu ibu di Malaysia kini bertambah baik berdasarkan data tahunan oleh Jabatan-jabatan Kesihatan Negeri.
“Data tahunan yang dikumpulkan menunjukkan penyusuan susu ibu secara eksklusif pada umur 6 bulan meningkat daripada 14.5% pada tahun 2009 kepada 49.4% pada tahun 2015.
“Saya percaya, pencapaian ini adalah hasil usaha pelbagai pihak dan hasil daripada pelaksanaan intervensi yang telah dijalankan oleh kerajaan,” katanya.
Majlis konvensyen 2 hari itu yang kali ketiga dianjurkan Pusat Laktasi Kebangsaan bagi meningkatkan kadar penyusuan susu ibu secara eksklusif sehingga bayi berumur 6 bulan dan meneruskannya sehingga berumur 2 tahun.