
“Tidak boleh menyebabkan berlaku sebarang pertembungan fizikal sama sekali.
“Ia tidak membawa apa-apa kebaikan kepada kita dan bukan budaya yang mahu kita amalkan sebagai cara hidup kita di Malaysia,” kata perdana menteri yang dipetik Bernama di Tokyo di akhir lawatan rasmi 3 hari ke Jepun hari ini.
Kenyataan itu susulan amaran Jamal yang gerakan Baju Merah akan membuat apa sahaja untuk mengganggu himpunan Bersih 5 anjuran Bersih 2.0 bagi mendesak Najib meletak jawatan susulan skandal 1MDB.
Sejak beberapa minggu ini, penyokong Baju Merah dilaporkan terbabit dalam pergelutan dengan penyokong Bersih dan polis.
Semalam, Jamal memberi amaran yang beliau tidak mampu mengawal penyokongnya apabila mereka berkumpul pada Sabtu ini.
“Saya tidak menyediakan makanan untuk mereka yang merancang menyertai kami dalam Bersih 5. Apa yang pasti, mereka yang merancang menyertai kami pada hari itu akan ‘lapar’,” katanya.
Selasa lalu, polis memberi amaran akan menggunakan semburan air dan gas pemedih mata untuk menyuraikan penyokong Baju Merah dan Bersih.
Dalam pada itu, Najib menasihatkan rakyat menunggu sehingga pilihan raya umum akan datang untuk membuat pilihan mereka.
“Waktu terbaik membuat keputusan ialah apabila tiba masanya.
Pilihan raya akan diadakan dan rakyat boleh membuat pilihan dan kami akan mematuhi keputusan rakyat. Itu adalah penting,” katanya dipetik Bernama.