26.7% daripada 2 juta rakyat Kedah alami masalah mental

26.7% daripada 2 juta rakyat Kedah alami masalah mental

Dr Leong Yong Kong bagaimanapun berkata hanya sebilangan kecil daripada jumlah itu yang disahkan sebagai pesakit mental.

Datuk-Dr-Leong-Yong-Kong
ALOR SETAR:
Kajian Kementerian Kesihatan pada 2015 mendapati 26.7% daripada 2 juta penduduk Kedah mengalami masalah kesihatan mental, sidang Dewan Undangan Negeri diberitahu.

Pengerusi Jawatankuasa Alam Sekitar, Hal Ehwal Masyarakat Cina, India dan Siam, Kesihatan dan Perpaduan Negeri Datuk Dr Leong Yong Kong bagaimanapun berkata hanya sebilangan kecil daripada jumlah itu yang disahkan sebagai pesakit mental.

Beliau berkata pada tahun ini saja, terdapat 10 pesakit mental yang ditempatkan di hospital yang mempunyai wad sakit mental iaitu 5 di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar, Hospital Sultan Abdul Halim, Sungai Petani (HSAH) (4) dan satu di Hospital Kulim.

Jumlah pakar psikiatri pula 5 orang di HSB, 4 di HSAH dan seorang di Hospital Kulim,” katanya ketika menjawab soalan Dr R Krishnamoorthy (PKR-Bukit Selambau).

Beliau berkata masalah kesihatan mental disebabkan antara lain gangguan emosi dan kemurungan sementara penyakit mental berupa berpunca daripada skizofrenia, kebimbangan, kemurungan serius dan gangguan personaliti.

Dr Leong berkata kajian juga mendapati masalah kesihatan mental terbanyak dalam kalangan keluarga yang berpendapatan rendah dan tinggal di kawasan pedalaman.

Beliau berkata masalah kesihatan mental di negara ini paling tinggi dalam kalangan mereka yang berusia 16 tahun dan ke atas dan lebih tinggi dalam kalangan kaum wanita.

Pelbagai faktor boleh menyumbang kepada perkara itu seperti berlaku krisis kewangan dan ekonomi, masalah perhubungan, kurangnya kemahiran keibubapaan, penyakit fizikal, penyakit kronik seperti diabetes dan kanser, katanya.

Katanya, pelbagai usaha dilakukan kerajaan negeri dalam menangani masalah itu seperti mengadakan ceramah, pengurusan stres, tindakan pencegahan dan rawatan awal.

 

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.