
Ketua Menteri Lim Guan Eng berkata dakwaan Pengerusi Gerakan negeri Teng Chang Yeow ialah pembohongan berniat jahat dan mencemarkan integriti Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) yang sebelum ini memegang saham di resort itu.
“Anda fikir anda budak kecil main guli? Ini projek jutaan ringgit. Jika betul ada jaminan keuntungan RM220 juta, kami pasti sudah ambil.
“Jika betul PDC tolak urus niaga seperti itu, pasti ada yang sudah hilang jawatan,” katanya pada sidang media di Komtar hari ini.
Pengurus Besar PDC Rosli Jaafar yang turut hadir pada sidang media itu bersetuju dengan kenyataan Lim dan berkata tidak wujud urus niaga seperti itu.
Baru-baru ini, PDC mendedahkan ia menjual 49% pegangan saham dalam syarikat resort di Pulau Jerejak, selepas pemegang saham majoriti Perbadanan Pembangunan Bandar (UDA) menawarkan supaya saham PDC diperoleh syarikat pemaju swasta di negeri itu.
PDC berkata ia memutuskan untuk melepaskan sahamnya selepas resort itu mengalami kerugian. Perbadanan itu memperoleh RM140.6 juta daripada penjualan saham Tropical Island Resort Sdn Bhd (TIRSB) kepada Ideal Properties Group (Ideal).
UDA dan Ideal memulakan syarikat kerjasama untuk membangunkan bahagian barat Pulau Jerejak.
Semalam, Teng berkata beliau dimaklumkan sumbernya dalam PDC yang kerajaan Lim menolak kerjasama hampir sama pada 2013 dan hilang peluang memperoleh keuntungan besar.
Katanya, penjualan sama itu boleh menjana RM450 juta dalam jaminan keuntungan dengan nilai pembangunan kasar RM1.5 juta.
Katanya, dengan 49% saham dipegang PDC, ia berpotensi mendapat keuntungan RM220 juta jika meneruskan cadangan urus niaga pada 2013 itu.
“Kenapa ketua menteri dan PDC memilih RM156 juta dengan menjual 49% saham dan rugi hak pegangan terhadap resort di Pulau Jerejak?
“Jika ketua menteri meluluskan kerjasama itu, PDC sudah pasti berpotensi untuk mendapat keuntungan RM220 juta dan hak terhadap Pulau Jerejak dikekalkan,” kata Teng semalam.
Ketika dihubungi, Teng berkata Lim sepatutnya mendedahkan semua dokumen berkaitan penjualan saham demi kepentingan ketelusan.
Katanya, Lim juga perlu bertanya kepada UDA sebagai pemegang saham majoriti dalam TIRSB untuk mendedahkan semua dokumen berhubung penjualan saham itu.