Pembangkang usah berangan tawan 5 negeri pada PRU14, kata BN

Pembangkang usah berangan tawan 5 negeri pada PRU14, kata BN

Pemimpin BN Negeri Sembilan, Perak, Kedah dan Johor yakin dapat mempertahankan 4 negeri itu daripada jatuh ke tangan pembangkang.

Datuk-Seri-Mohamad-Hasan
PETALING JAYA: Sasaran Pakatan Harapan menawan 5 negeri pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) sekadar angan-angan kerana Barisan Nasional akan berjuang habis-habisan bagi mempertahankan kubu mereka, kata pucuk pimpinan BN.

Pengerusi BN Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, Lim Kit Siang dan pembangkang sejak dulu lagi berhasrat merampas negeri itu daripada parti berkenaan.

“BN Negeri Sembilan akan terus kerja kuat untuk bangunkan negeri dan menjaga kesejahteraan rakyat. Biarlah rakyat yang menentukannya pada PRU14 nanti,” katanya kepada FMT hari ini.

Menteri besar Negeri Sembilan itu berkata, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) yang baru ditubuhkan juga belum dilihat mampu mengancam kekuatan BN di negeri berkenaan.

“Tentang PPBM itu biasalah. Ia umpama bunga yang baru kembang, masih harum dan wangi, maka ramai juga yang tertarik untuk menghidunya,” katanya sebagai mengulas kenyataan Lim semalam yang mahu Pakatan Harapan menggunakan 1 manifesto bersama dan berjuang habis-habisan bagi menawan 5 negeri pada PRU14.

Sasaran PH ialah mempertahankan Selangor dan merampas Kedah, Perak, Negeri Sembilan serta Johor daripada BN pada PRU14.

Exco Johor, Datuk Zulkarnain Kamisan berkata, pembangkang bebas berangan untuk menawan 5 negeri terbabit, tetapi BN akan terus mempertahankan negeri itu daripada jatuh ke tangan pembangkang.

“Dia boleh bercita-cita dan berangan-angan, tetapi semua orang akan pasti pertahankan, termasuk BN.

“Insya-Allah. Ini kita lihat program dan agenda kita, rakyat secara langsung menerima apa yang menteri besar Johor (buat),” kata adun BN Sri Medan itu.

Exco Kedah, Datuk Suraya Yaacob pula berkata, kenyataan penasihat DAP itu dibuat berdasarkan pengaruh bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan anaknya, Datuk Seri Mukhriz Mahathir yang dilihat mampu menarik pengundi menyokong pembangkang.

“BN tidak akan tumbang sebegini mudah hanya dengan menggunakan seorang umpan.

“BN akan terus pertahankan Kedah, terutama melalui konsep muafakat. Untuk menang kita memerlukan banyak ramuan, selain parti yang diyakini, calon ada kredibiliti dan lain-lain aspek, termasuk jasa diberikan,” kata adun BN Sungai Tiang itu.

Exco Perak, Datuk Mohd Zahir Abdul Khalid yakin rakyat akan terus memilih BN memerintah negeri itu berdasarkan prestasi dan perkhidmatan parti itu.

“Lim Kit Siang boleh berkata apa sahaja yang dia nak cakap. BN/Umno tidak akan lemah, kita akan teruskan berkhidmat untuk rakyat.

“Saya yakin BN Perak di bawah pimpinan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir adalah yang terbaik untuk rakyat di negeri itu. Kita sentiasa fokus dengan masalah rakyat.

“Terpulang kepada rakyat untuk buat pilihan. Namun, kita yakin rakyat akan memilih berdasarkan perkhidmatan kita berikan,” kata adun BN Kamunting itu.

Kit Siang sasar Pakatan Harapan tawan 5 negeri pada PRU14

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.