Lain kali buat kerja rumah sebelum tuduh, kata Rahman kepada Rafizi

Lain kali buat kerja rumah sebelum tuduh, kata Rahman kepada Rafizi

Saham Malaysia Rail Line Sdn Bhd sudah dipindah milik kepada Menteri Kewangan Diperbadankan (MKD) dan Pesuruhjaya Tanah Persekutuan.

rafizi rahman
PETALING JAYA: Rafizi Ramli disaran membuat kerja rumah terlebih dahulu sebelum mengelirukan orang ramai tentang soal pemilikan Malaysia Rail Line Sdn Bhd (MRLSB).

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Rahman Dahlan hari ini membidas Setiausaha Agung PKR itu yang cuba membuat orang ramai percaya MRLSB milik 2 individu dan bukannya kerajaan.

Rahman menjelaskan pemilikan bersama itu sekadar bertujuan untuk memudahkan permulaan MRLSB, yang kemudian saham individu terbabit dipindahkan kepada Menteri Kewangan Diperbadankan (MKD) dan Pesuruhjaya Tanah Persekutuan.

“Untuk memudahkan permulaan MRLSB, dua pegawai kementerian iaitu Dr Yusof Ismail dan Ahmad Suhaimi Endut dipilih menjadi Pengarah Pertama dan Pemegang Saham Pertama.

“Selepas itu, saham berkenaan dipindahkan kepada MKD dan Pesuruhjaya Tanah Persekutuan pada 12 Oktober 2016,” kata Rahman dalam satu kenyataan malam tadi.

Rahman berkata Akta Syarikat 1965 semasa menetapkan syarikat tidak perlu menyerahkan daftar pindah milik saham kepada Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM)

Ini bermakna sebarang perubahan pada pemilikan syarikat tidak akan terserlah dalam sistem SSM sehingga pulangan tahunan syarikat dimasukkan.

“Ini menjelaskan mengapa laporan pencarian SSM oleh Rafizi masih menunjukkan 2 pegawai berkenaan sebagai pemegang saham MRL, sedang hakikatnya pemegang saham semasa adalah Kementerian Kewangan dan Pesuruhjaya Tanah Persekutuan.

“Sekiranya Rafizi buat kerja rumah sebelum menuduh, beliau tidak akan kelihatan seperti seseorang yang terdesak mencari kelebihan politik hingga mengorbankan kredibiliti.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.