
Ketua Umno Bahagian Sungai Besar itu berkata, saranan yang dilakukan pemimpin pembangkang itu bersifat berat sebelah dan hanya untuk menutup perbuatan keji dilakukan Bersih.
“Saya tidak bimbang kalau daripada usul pembangkang, kecualilah usul itu daripada prokerajaan. Itu saya bimbang. Usul ini bersikap politik kerana ia daripada pihak pembangkang.
“Ia (usul halang Jamal) daripada bekas pemimpin PKR dan semestinya dilakukan untuk memenangkan Bersih dan untuk melihat seolah-olah Bersih 5 melakukan perjuangan yang betul,” katanya kepada FMT.
Jamal berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai tindakan Adun Moyong, Terence Siambun yang menggesa kerajaan negeri supaya menyenaraihitamkan Jamal dan melarangnya daripada memasuki Sabah.
Kata Jamal, Terence harus memahami niat sebenar perjuangan kumpulan Baju Merah kerana menurutnya apa yang dilakukan berteraskan kepada tindakan dan kegiatan Bersih yang dilihat sudah lari daripada matlamat.
“Bersih sudah lari daripada perjuangannya. Ia kini hanya menghasut rakyat, memfitnah kerajaan. Sebab itu kami wujud. Tidak ada Bersih, tidak ada merah,” katanya.
Jamal turut menafikan agenda kumpulan Baju Merah akan membuatkan keharmonian dan ketenteraman rakyat dan negeri Sabah terjejas seperti didakwa Terence.
“Minta beliau buktikan kalau saya ini membawa perkara negatif. Sebenarnya yang negatif adalah Bersih. Kalau beliau kata kami membawa kepada perpecahan, budaya merbahaya tolong buktikan, sebutkan secara khusus dan terperinci,” katanya.
Terence turut menyeru Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman agar tidak gentar dengan jawatan Jamal dalam Umno.
Beliau yang keluar daripada PKR baru-baru ini, memberi contoh Baju Merah menakut-nakutkan masyarakat Cina yang menyokong Bersih 2.0. Katanya kumpulan itu jelas menunjukkan ia melanggar undang-undang.