DUN Selangor wujud slot baharu untuk ketua pembangkang

DUN Selangor wujud slot baharu untuk ketua pembangkang

Ia bertujuan memberi peluang kepada ketua pembangkang berinteraksi secara langsung dengan menteri besar Selangor mengenai sebarang isu berbangkit.

Hannah Yeoh
SHAH ALAM: Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor meneruskan amalan keterbukaannya dengan mewujudkan slot baharu yang memberi peluang kepada ketua pembangkang untuk berucap, kata Speaker Hannah Yeoh,

Menurut beliau, ia merupakan pindaan terhadap Peraturan Tetap 13(1) dan 14(A) bagi menjamin hak ketua pembangkang berucap semasa dalam sidang pada masa hadapan.

“Pindaan ini bertujuan memberi peluang dan ruang kepada ketua pembangkang berinteraksi secara langsung dan terus dengan Menteri besar Datuk Seri Mohamed Azmin Ali mengenai isu yang ingin dibangkitkan mereka.

“Ini sejelasnya menunjukkan satu bentuk akautabiliti melalui pemaktuban pindaan baru Peraturan Tetap Dewan ini,” katanya dalam satu sidang media di DUN Selangor.

Mengulas lanjut, walaupun Barisan Nasional Selangor belum melantik ketua pembangkang, tetapi kewujudan slot baharu ini merupakan satu usaha penambahbaikan DUN pada sidang seterusnya.

Katanya, walaupun Adun kerajaan dalam DUN Selangor melebihi dua pertiga kerusi Dewan, usaha untuk memperkasa peranan pembangkang sentiasa dilakukan.

“Hal ini selaras dengan keterbukaan DUN Selangor. Pengiktirafan kepada peranan pembangkang dalam amalan semak dan imbang juga pernah dibuat sebelum ini melalui pemaktuban ketua pembangkang sebagai pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Kerajaan (PAC) secara madatori melalui Peraturan Tetap 68 (1),” katanya.

 

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.