Putra Heights: Jawatankuasa khas akan libat 2 pakar pembangkang

Putra Heights: Jawatankuasa khas akan libat 2 pakar pembangkang

Menteri Besar Selangor Amirudin Shari berkata, langkah ini agar kesemua pihak dapat gembleng tenaga cari pihak bertanggungjawab.

amirudin
Menteri Besar Selangor Amirudin Shari berkata, jawatankuasa khas diberi masa sehingga 3 bulan untuk teliti hasil siasatan insiden Putra Heights, rangka cadangan undang-undang dan langkah pencegahan jangka panjang.
SHAH ALAM:
Kerajaan Selangor bersetuju melantik dua pakar yang dinamakan oleh pihak pembangkang bagi menganggotai Jawatankuasa Khas Adaptasi Risiko Saluran Paip Gas untuk menjamin ketelusan laporan insiden letupan saluran gas Putra Heights.

Menteri Besar Amirudin Shari berkata, langkah itu bagi membolehkan laporan yang telah dihasilkan disemak semula dan kekurangan dapat dikenal pasti, sekali gus bersama-sama menggembleng tenaga bagi memastikan pihak yang perlu dipertanggungjawabkan ditemukan

“Kerajaan negeri juga bersedia menerbitkan keseluruhan laporan … kita sedang kumpulkan kerana ia melibatkan jabatan-jabatan, dalam tempoh dua minggu berakhir sidang Dewan ini, saya yakin cetakan akan disiapkan.

“Kita juga akan bagi kepada penduduk di kawasan yang terkesan dahulu, termasuk semua Adun dan mereka yang berminat mengkaji perkara ini,” katanya pada sesi penerangan khas insiden Putra Heights di DUN Selangor hari ini.

Sebelum ini, Amirudin dilaporkan berkata, kerajaan Selangor akan menubuhkan jawatankuasa khas bagi menyiasat punca insiden yang berlaku pada 1 April lepas.

Katanya, jawatankuasa itu akan dianggotai oleh tujuh tenaga pakar itu akan melibatkan pelbagai agensi, termasuk wakil kerajaan negeri dan persekutuan serta badan berkaitan seperti Petronas.

Jawatankuasa itu akan meneliti hasil siasatan bagi merangka cadangan undang-undang dan langkah pencegahan jangka panjang, tambahnya.

Dalam pada itu, Amirudin pada sesi penerangan hari ini memaklumkan, jawatankuasa khas itu diberi masa sehingga tiga bulan untuk merangka cadangan berkaitan.

“Bagi pihak kerajaan negeri, ia pasti melibatkan dasar, pihak berkuasa tempatan untuk menambah nilai terhadap kerja-kerja berkaitan, manakala kepada pihak pemunya paip gas seperti Petronas Gas atau Gas Malaysia melihat kepada tambahan maklumat yang ada seperti faktor dan kawasan sekeliling tanah serta situasi melibatkan isu tanah,” katanya.

Amirudin turut mengulangi jaminan bahawa kerajaan negeri komited untuk memastikan ketelusan penyampaian maklumat dan tidak akan melindungi mahupun menutup sebarang salah laku.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.