
Rais yang juga penasihat kerajaan dalam hal ehwal sosial dan kebudayaan berkata, dakwaan Dr Mahathir itu seharusnya dilihat menerusi hansard dan rekod-rekod di Parlimen.
“Ia harus dilihat menerusi petak-petak peristiwa seperti peristiwa Operasi Lalang 1987, siapa bercakap, siapa tak bercakap. Lepas itu, peristiwa pemberhentian Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Banyak pihak sudah lupa hal-hal sedemikian. Jadi dakwaan atau pendapat beliau itu mesti dibuktikan menerusi kenyataan atau peristiwa yang sebenar,” katanya.
Beliau berkata demikian susulan dakwaan bekas perdana menteri itu Dr Mahathir yang mengatakan kebebasan berparlimen di eranya lebih demokratik berbanding di bawah pentadbiran Datuk Seri Najib Razak
“Saya rasa sangat sedih kerana Parlimen ini bukan Parlimen yang kita ada sejak zaman (perdana menteri Malaysia yang pertama) Tunku Abdul Rahman kecuali peraturan tidak menghasut kaum. Jika tidak, tiada sekatan dan tindakan diambil terhadap apa yang dikatakan di Parlimen.
“Walaupun ketika mereka kata saya ‘maha zalim’ dan ‘maha firaun’. Malah, kalau mereka mahu gelar saya seperti itu sekarang, ia tidak mengapa,” katanya pada sidang akhbar di bangunan sementara Parlimen baru-baru ini.
Rais juga berpandangan, kegerunan ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) berucap di dalam Dewan Rakyat bukanlah kerana isu kebebasan berparlimen tetapi khuatir ia akan menghentam kerajaan.
Ini bertentangan dengan ahli Parlimen pembangkang seperti Rafizi Ramli, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal yang kini dilihat semakin agresif dan berani.
“Mereka harus diberi markah oleh rakyat kerana membuat kenyataan isi hati,” katanya kepada FMT.
Seorang lagi bekas veteran Umno, Tan Sri Sanusi Junid pula menganggap amalan demokrasi di Malaysia pada masa ini seperti demokrasi terpimpin semasa zaman Presiden Soekarno di Indonesia.
“Waktu itu Soekarno di bawah pengaruh Aidit daripada PKI (Parti Komunis Indonesia) yang mirip fahamannya dengan komunis pada zaman Mao Tse Tung di China.
“Bezanya ialah ikatan pengikut komunisme ialah ideologi, sementara pengikut (Datuk Seri) Najib (Razak) adalah kerana beliau king of cash (raja yang mempunyai wang) yang mendukung fahaman ‘cash is king’ (wang adalah raja),” dakwanya.
PAUTAN:
Kebebasan Dewan Rakyat di era saya lebih baik, kata Dr Mahathir