
Mengulas isu pelihara anjing di pangsapuri, Setiausaha Agung Kehormat HBA Chang Kim Loong berkata setiap PBT mempunyai undang-undang tersendiri.
Oleh itu, undang-undang PBT akan menentukan sama ada seseorang itu boleh pelihara anjing atau tidak.
“Sekiranya pengurusan bangunan berkata anjing tidak boleh dibela di pangsapuri tertentu, walaupun PBT membolehkan, jadi peraturan pengurusan pangsapuri perlu dibetulkan.
“Ia sepertimana sesetengah pangsapuri menetapkan peraturan diskriminasi kaum dan melarang pemilik daripada menyewa unit mereka kepada warga Afrika. Ia tidak boleh dikuatkuasakan.”
Kim Loong berkata undang-undang PBT juga perlu dipatuhi di pangsapuri yang membolehkan anjing dipelihara.
Sekiranya PBT tidak membolehkan anjing dipelihara di bangunan tinggi, dan ada orang pelihara anjing walaupun dibolehkan pengurusan, maka pemilik anjing itu sudah melanggar undang-undang dan tindakan boleh diambil terhadapnya.
Kim Loong berkata pemilik rumah dan badan pengurusan hartanah strata yang rasa tertekan dengan peraturan yang ditetapkan oleh badan pengurusan bersama (JMB) atau syarikat pengurusan (MC), boleh merayu kes ke Tribunal Pengurusan Perumahan Strata (TPPS).
TPPS terletak di ibu pejabat Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan di Putrajaya.
Tinjauan FMT di laman web sesetengah PBT mendapati terdapat undang-undang berbeza berhubung pemeliharaan anjing.
Dewan Bandaraya Kuala Lumpur misalnya hanya membenarkan 9 jenis baka anjing bersaiz kecil dipelihara di bangunan tinggi, dengan kebenaran JMB dan MC.
Manakala Majlis Bandaraya Petaling Jaya dan Majlis Perbandaran Ampang Jaya hanya membenarkan anjing dipelihara di aras bawah bangunan tinggi.
Di Majlis Perbandaran Subang Jaya pula, pihak majlis tidak membenarkan anjing dipelihara di bangunan tinggi.
Awal hari ini, PetFinder.my memetik peguam Pretam Singh sebagai berkata tidak ada undang-undang yang menghalang penghuni hartanah strata memelihara anjing.
Pretam berkata pemilik anjing berhak memelihara binatang peliharaan mereka di pangsapuri masing-masing, kecuali ada undang-undang PBT khusus yang melarang.