
Exco Pelancongan, Alam Sekitar, Teknologi Hijau dan Hal Ehwal Pengguna Selangor, Elizabeth Wong berkata kerajaan mempunyai alat pengesan sendiri yang mampu mengesan premis terbabit dengan pencemaran.
“Memang kita tidak buat operasi besar-besaran kerana bila kita tiba di tempat kejadian, sebagai contoh buat di Lot 1 dan Lot 10 (mereka) sudah tahu. Jadi bila kita buat operasi, kita buat senyap-senyap, secara berkala.
“Dan bila kita dapat aduan ada bau dan nampak sesuautu, jadi semua agensi berkenaan boleh menyemak dan biasanya sudah pasti ada bukti yang tertinggal di atas lantai dan sebagainya,” katanya di dalam Dewan Undangan Negeri Selangor.
Beliau berkata demikian menjawab soalan tambahan daripada Datuk Johan Abdul Aziz (Semenyih-BN) sama ada kerajaan negeri perlu menjalankan operasi besar-besaran terhadap premis di kawasan berhampiran pencemaran di Semenyih.
Menurut Johan, langkah itu perlu bagi memastikan Sungai Semenyih tidak lagi tercemar dan mengakibatkan Loji Rawatan Air (LRA) Semenyih ditutup sekali gus berlakunya gangguan bekalan air kepada rakyat Selangor.
Mengulas lanjut, Elizabeth berkata buat masa ini kerajaan negeri mempunyai 3 alat yang berfungsi secara automatik bagi pengesanan awal pencemaran sungai atau air.
Katanya setakat ini Majlis Pembandaran Kajang (MPKj) mengeluarkan kompaun kepada 87 premis.
“Kita juga pernah menutup dan membatalkan lesen sebuah kilang besar di Semenyih tahun lepas yang didapati melepaskan asid secara keterlaluan. Oleh itu, kita boleh bergerak di kawasan yang amat besar,” katanya.
LRA Sungai Semenyih terpaksa ditutup lebih 5 kali dalam tahun ini akibat pencemaran dengan yang terbaru pada 23 Oktober lepas akibat pencemaran di Sungai Semenyih yang disyaki berpunca daripada kawasan perindustrian di Nilai, Negeri Sembilan.
Susulan itu, kerajaan mengumumkan satu pasukan khas melibatkan kerjasama agensi di bawah kerajaan persekutuan dan negeri akan ditubuhkan bagi menyelesaikan isu pencemaran sungai yang menjejaskan 1.6 juta pengguna di Selangor.
PAUTAN: