
Ketua Polis Daerah Kajang ACP Othman Nanyan berkata identiti mangsa belum dapat dikenal pasti berikutan keseluruhan tubuhnya rentung dalam kebakaran kira-kira 5.29 petang itu.
“Siasatan awal mendapati mangsa terperangkap dalam kereta yang terbakar dan cuba diselamatkan orang awam namun gagal kerana api marak dengan cepat,” katanya ketika dihubungi.
Othman berkata pemeriksaan nombor pendaftaran kenderaan itu mendapati ia didaftarkan atas nama seorang lelaki berbangsa Cina berusia 52 tahun yang beralamat di Taman Murni Batu 9 Cheras, Kajang.
Beliau berkata berdasarkan maklumat saksi di tempat kejadian, kebakaran itu dipercayai berpunca daripada dalam kereta berkenaan, namun punca sebenar masih disiasat.
Katanya mayat mangsa dibawa ke Hospital Kajang untuk bedah siasat dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.
Sementara itu, Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor, Mohd Sani Harul berkata 8 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Kajang dikejarkan ke lokasi kejadian bagi memadamkan kebakaran.