Duterte lawat Malaysia buka lembaran baharu masalah Mindanao, Sabah

Duterte lawat Malaysia buka lembaran baharu masalah Mindanao, Sabah

Zahid berkata, beberapa persoalan diplomatik melibatkan Sabah dapat dibincangkan dan Duterte mempunyai pandangan amat proaktif bagi mencari jalan penyelesaian untuk permasalahan Malaysia dan Filipina.

zahid-duterte
LONDON: Lawatan presiden Filipina ke Malaysia minggu ini akan membuka lembaran baru terhadap usaha Putrajaya untuk terus membantu dalam penyelesaian masalah di Mindanao, kebanjiran rakyat negara itu di Sabah dan isu-isu keselamatan berkaitan, kata timbalan perdana menteri.

Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, peranan Malaysia sebagai pihak ketiga dalam mencari penyelesaian terhadap masalah di selatan Filipina, khususnya Mindanao penting kerana apa yang diusahakan fasilitator Malaysia, Tengku Datuk Abdul Ghafar Tengku Mohamed diterima kepimpinan Filipina lalu, namun ia belum dapat dilaksanakan secara konklusif.

“Jadi, lawatan Presiden Rodrigo Duterte ke Malaysia dalam pertemuan dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, Khamis ini, akan merupakan suatu usaha yang dibuat bagi menentukan Suruhanjaya Peralihan Bangsamoro atau BTC dapat dilaksanakan,” katanya kepada wartawan Malaysia.

Zahid yand dalam rangka lawatan kerja 5 hari ke United Kingdom mulai semalam berkata, Malaysia yang diwakili Najib dan beliau sendiri ketika itu selaku menteri pertahanan, menyaksikan pemeteraian Rang Undang-undang Asas Bangsamoro (BBL).

“Dalam lawatan kali ini, kita melihat prospek amat cerah bagi Malaysia terus memainkan peranan ini dan kita merasakan tentunya pihak Filipina di bawah kepimpinan baru ini akan lebih terbuka untuk melibatkan juga beberapa pihak lain di Filipina,” katanya.

Zahid berharap perjanjian yang ditandatangani bersama kerajaan Filipina dengan Murad Ebrahim selaku Pengerusi Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF) itu, pada kali ini akan melibatkan beberapa pihak lain, termasuk kumpulan minoriti di selatan Filipina bagi menyelesaikan masalah kebanjiran rakyat Filipina tidak berdokumen di Sabah.

“Secara tidak langsung ini akan dapat menyelesaikan permasalahan yang dicadangkan di dalam Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI),” katanya.

Zahid berkata, dari segi pelaksanaan syor itu, sebuah jawatankuasa induk yang dipengerusikan bersama Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman dan beliau sendiri serta jawatankuasa pelaksanaan diterajui Timbalan Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Joseph Pairin Kitingan, akan dapat menyelesaikan tugas yang dicadangkan RCI.

“Saya yakin lawatan ini akan menyelesaikan beberapa permasalahan yang selama ini tidak dapat diselesaikan, di samping masalah keselamatan di sekitar Esszone (Zon Keselamatan Pantai Timur Sabah) yang berada sekitar 1,700km pantai yang menjadi tanggungjawab kepada Esscom (Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah), terutamanya kes-kes penculikan untuk wang tebusan.

“Tentunya dalam lawatan ini, beberapa persoalan diplomatik melibatkan Sabah khususnya akan dapat dibincangkan dan saya melihat Presiden Duterte mempunyai pandangan amat proaktif bagi mencari beberapa jalan penyelesaian permasalahan yang berlaku begitu lama antara Malaysia dan Filipina,” katanya.

Zahid yang juga menteri dalam negeri berkata, Malaysia berpandangan kemakmuran di kawasan selatan Filipina itu boleh menyelesaikan permasalahan yang menjadi isu politik dan sosio-ekonomi di kawasan terbabit dan di Sabah.

 

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.