Rahman: Amalan biasa tubuh syarikat baharu urus projek besar

Rahman: Amalan biasa tubuh syarikat baharu urus projek besar

Rahman Dahlan berkata, Malaysia Rail Link Sdn Bhd disokong Kementerian Kewangan dan menolak dakwaan projek ECRL antara projek termahal di dunia.

rahman
KUALA LUMPUR:
Syarikat baharu bermodalkan RM2 yang mengendalikan projek Laluan Kereta Api Pantai Timur (ECRL) bernilai RM55 bilion adalah syarikat bertujuan khas (SPV) ditubuhkan Kementerian Kewangan, kata Datuk Abdul Rahman Dahlan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu yang bertanggungjawab terhadap Unit Perancang Ekonomi berkata, ia adalah amalan biasa untuk kerajaan menubuhkan syarikat baharu setiap kali ia memulakan sebuah projek baharu.

“Tiada apa yang luar biasa mengenai syarikat itu. Ia adalah SPV yang dimiliki Kementerian Kewangan.

“Jadi, hakikat ia mempunyai modal permulaan RM2 tidak relevan kerana ia mendapat sokongan Kementerian Kewangan,” katanya pada sidang media di lobi Parlimen, hari ini.

Rahman menjawab soalan Ahli Parlimen PKR Pandan, Rafizi Ramli semalam berhubung pelantikan Malaysia Rail Link Sdn Bhd untuk mengetuai projek bersama Malaysia dan China itu.

Rafizi mendakwa kementerian itu gagal mengikut proses sepatutnya di mana projek besar seperti ECRL biasanya perlu dibentangkan kepada Dewan Rakyat sebelum modal diberikan.

Bagaimanapun, Rahman berkata, tiada keperluan berbuat demikian kerana beliau sudah membentangkan cadangan projek itu untuk dibincangkan di Kabinet dan Majlis Ekonomi Negara.

“Projek ini adalah pengubah permainan, ia adalah projek besar.

“Ini adalah cara untuk membuka ekonomi Pantai Timur, khasnya di Kelantan, Terengganu dan Pahang.

“Jadi, jangan memperkecilkan projek ini dengan membuat andaian tidak berasas.”

Rahman turut menolak dakwaan projek ECRL adalah antara projek termahal di dunia dan memberi beberapa contoh untuk menyokong hujah itu.

“Projek kereta api Bremmer 57km di Switzerland berharga AS$11.9 bilion. Landasan kereta api 177km di Madrid-Volladoid, Sepanyol, bernilai AS$5.48 bilion.

“Satu lagi projek kereta api di Barcelona, Sepanyol, berharga kira-kira AS$8.12 bilion sepanjang 48km.

“ECRL sebaliknya akan bernilai RM55 bilion dan panjangnya 688km.”

Ahli Parlimen Kota Belud itu berkata, ECRL yang dijangka menjadi antara projek paling mencabar daripada segi kejuruteraan dan pembinaan di Malaysia, akan meningkatkan aktiviti pelancongan dan perindustrian di bandar-bandar sepanjang jajarannya.

Pembinaan dijangka bermula tahun depan dan mengambil masa 7 tahun untuk disiapkan.

PH persoal mengapa projek RM46b ditandatangani syarikat RM2

 

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.