DAP persoal motif siasatan Jabatan Air Sabah

DAP persoal motif siasatan Jabatan Air Sabah

Ahli Parlimen Sarawak Chong Chieng Jen mendakwa siasatan skandal rasuah di Sabah adalah peringatan kepada ahli-ahli Umno agar mempertimbangkan keputusan meninggalkan parti.

sabah department
KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen DAP hari ini mempersoalkan kemungkinan siasatan skandal rasuah Jabatan Air Sabah (JAS) sebagai sebahagian usaha memerangi rasuah atau “peringatan” terhadap pemimpin Umno.

Mempersoalkan sama ada terdapat motif tersembunyi di sebalik siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) itu, Chong Chieng Jen mengatakan ia sebenarnya adalah untuk menghalang ahli-ahli Umno keluar daripada parti.

“Adakah ini seperti ‘sembelih ayam sebagai amaran kepada monyet’?” tanya beliau, memetik pepatah Cina, ketika membahaskan bajet persekutuan di peringkat jawatankuasa di Dewan Rakyat hari ini.

Bulan lalu, sebanyak RM52 juta dalam bentuk wang tunai, RM60 juta dalam akaun bank, 9 kereta mewah dan barangan mewah lain dirampas SPRM berikutan penahanan 4 lelaki di Sabah.

Mereka termasuk 2 pegawai atasan JAS, ditahan atas dakwaan rasuah berhubung beberapa projek persekutuan di Sabah yang dikatakan bernilai RM3.3 bilion.

Beberapa hari selepas penyitaan itu, Timbalan Ketua Menteri Sabah Tan Sri Joseph Pairin Kitingan berkata kerajaan negeri tidak ada kena mengena dengan peruntukan persekutuan kepada JAS.

Beliau juga berkata, projek-projek yang diperuntukkan sejak 2010, berada di bawah Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah sepanjang tempoh Datuk Seri Shafie Apdal menjadi menteri.

Shafie yang menafikan sebarang kaitan dengan skandal itu menjadi menteri dari April 2009 hingga Julai 2015, sebelum digugurkan daripada Kabinet kerana membuat komen kritikal mengenai 1Malaysia Development Bhd.

Shafie yang keluar Umno kemudiannya memimpin parti yang berpangkalan di Sabah, Warisan.

Soalan Chong itu membangkitkan kemarahan Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim (Umno-Baling) yang memanggilnya “bodoh”.

“Setiausaha agung DAP juga mempunyai kes rasuah,” kata Azeez yang merujuk kepada Lim Guan Eng.

Ini menyebabkan kekecohan di Dewan Rakyat dan Timbalan Speaker, Datuk Mohamed Ismail Said terpaksa berulang kali meminta kedua-dua ahli Parlimen berhenti memaki hamun antara satu sama lain.

 

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.