16 kes pencemaran sungai di Selangor tahun ini, kata exco

16 kes pencemaran sungai di Selangor tahun ini, kata exco

Sungai Langat paling kerap tercemar, iaitu sebanyak 7 kali sehingga menyebabkan LRA Langat terpaksa ditutup dan lebih sejuta pengguna terjejas.

elizabeth-wong
SHAH ALAM:
Sebanyak 16 kes pencemaran sungai berlaku di Selangor sepanjang tahun ini, kata exco, Elizabeth Wong.

Beliau berkata, Sungai Langat paling kerap tercemar, iaitu sebanyak 7 kali dari Januari hingga Februari lalu sehingga menyebabkan Loji Rawatan Air (LRA) Langat terpaksa ditutup dan lebih sejuta pengguna di daerah Hulu Langat, Kuala Langat, Petaling dan Sepang terjejas.

Ini termasuk 4 kes berpunca daripada kenaikan ammonia akibat pelepasan sistem kumbahan Lembangan Langat, 2 datang daripada muka sauk Sungai Semantan, Pahang serta 1 lagi kes disebabkan kenaikan mangan.

Baki 8 pencemaran berlaku pada September hingga Oktober lalu.

“Empat kali pencemaran itu berasal daripada premis tidak berlesen di Sungai Lalang (Semenyih),” katanya ketika berucap di sidang Dewan Undangan Negeri (DUN), hari ini.

Wong berkata demikian menjawab pertanyaan lisan Adun BN Semenyih, Datuk Johan Aziz mengenai jumlah kes gangguan bekalan air akibat pencemaran sungai sepanjang tahun ini.

Adun PKR Bukit Lanjan itu berkata, kes terbaharu membabitkan pencemaran di LRA Labu, Ahad lalu, ekoran kemalangan mengakibatkan tumpahan minyak sawit, namun loji tidak ditutup sepenuhnya.

“LRA tidak ditutup terlalu lama kerana kita gunakan sistem ORS (Off River System), di mana kita dapat air daripada sistem tersebut sementara pembersihan berlaku di kawasan tersebut.”

Rabu lalu, Wong dilaporkan berkata, kerajaan Selangor membuka kertas siasatan berhubung kes pencemaran di Kampung Sungai Lalang, Semenyih dan akan diserahkan kepada Jabatan Peguam Negara bagi tindakan pendakwaan dalam tempoh terdekat.

Loji Pembersihan Air (LPA) Sungai Semenyih terpaksa ditutup 8 kali, iaitu pada 22 hingga 24 September lalu serta 3, 23 dan 28 Oktober lalu ekoran pencemaran.

Pencemaran itu turut menjejaskan operasi LRA Langat dan Cheras Batu 11 pada 7 dan 8 Oktober lalu.

PAUTAN:

Selangor bawa kertas siasatan pencemaran air kepada peguam negara

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.