PH persoal mengapa projek RM46b ditandatangani syarikat RM2

PH persoal mengapa projek RM46b ditandatangani syarikat RM2

Lazimnya syarikat bertujuan khas yang dibentuk untuk menjalankan projek prasarana besar perlu mendapatkan persetujuan Parlimen terlebih dahulu, kata Rafizi

East-Coast-Rail-Link
KUALA LUMPUR: Wakil rakyat pembangkang hari ini mempersoalkan mengapa projek Laluan Kereta Api Pantai Timur (ECRL) yang bernilai berbilion ringgit diluluskan tanpa dibentangkan di Parlimen.

Memetik laporan media, Ahli Parlimen Rafizi Ramli (PKR-Pandan) berkata perjanjian Malaysia-China itu menyaksikan Malaysia Rail Link Sdn Bhd mengepalai projek itu.

Namun, pemeriksaan mendapati syarikat itu hanya dibentuk pada 26 September tahun ini, dengan hanya bermodalkan RM2, katanya.

“Kami juga boleh sahkan, melalui pencarian Internet, saham RM2 itu milik bersama seorang yang bersama Ahmad Suhaimi Endut dan Dr Yusof Ismail.

East-Coast-Rail-Link3

“Mereka adalah pegawai kanan, berpangkat timbalan setiausaha, di Kementerian Kewangan,” katanya di sidang media di ruang legar Parlimen petang tadi.

Turut hadir Dr Hatta Ramli (Amanah-Kuala Krai), Wong Chen (PKR-Kelana Jaya) dan Ong Kian Ming (DAP-Serdang).

Maklumat itu, kata mereka, menimbulkan persoalan adakah kontrak itu dianugerahkan kepada syarikat terbabit mengikut proses sepatutnya.

“Lazimnya, syarikat bertujuan khas yang ditubuhkan kerajaan untuk menjalankan projek prasarana besar perlu mendapatkan kelulusan Parlimen terlebih dahulu sebelum modal diberikan.”

“Contohnya, apabila Kerajaan Persekutuan mahu melancarkan kereta api berkelajuan tinggi dari Kuala Lumpur ke Singapura, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak perlu bentang usul untuk Parlimen luluskan peruntukan bagi projek itu.

“Bagaimanapun perkara itu tidak dibuat untuk projek ini dan sebuah syarikat dengan hanya modal permulaan RM2 menandatangani kontrak bernilai RM46 bilion,” kata Rafizi.

Beliau kemudian menyoal Najib sama ada beliau sudah mendapatkan persetujuan Jemaah Menteri terlebih dahulu.

ECRL antara projek berimpak tinggi di bawah Rancangan Malaysia ke-11.

Najib, yang memeterai perjanjian dengan China Communication Construction Company Ltd, dilaporkan berkata pihak China bersetuju membiaya projek itu melalui Exim Bank.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.