Harga roti canai naik 50% tidak benar, kata pengusaha restoran

Harga roti canai naik 50% tidak benar, kata pengusaha restoran

Menurut presiden Presma, pengusaha restoran mamak serik menaikkan harga makanan kerana tidak mahu kehilangan pelanggan.

presma-roti-canai
PETALING JAYA:
Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (Presma) menepis dakwaan kononnya harga roti canai dinaikkan 50% bermula awal November susulan isu kekurangan bekalan minyak masak.

Menurut Pengerusi Presma, Noorul Hassan Saul Hameed, ia hanya khabar angin dan meminta masyarakat jangan mudah terpengaruh dengannya.

“Isu itu tidak benar. Ia hanya khabar angin sahaja. Ingin saya nyatakan di sini, rakyat Malaysia jangan mudah terpenggaruh dengan khabar angin yang selama ini menjadi kelemahan kita. Ramai yang seronok viralkan berita tidak betul.

“Kita ada undang-undang. Sepatutnya kalau harga makanan naik, tidak perlulah hebohkan. Lebih baik lapor terus kepada pihak berkuasa untuk diambil tindakan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada FMT mengulas laporan berita yang menjadi viral, kononnya harga roti canai melambung tinggi melebihi 50%.

Menerusi laporan itu, harga roti kosong naik antara RM1.30 hingga RM1.50; roti telur RM2.50 hingga RM2.80; roti tisu, roti sardin dan roti pisang RM6; serta roti John RM7.

Noorul berkata, pengusaha restoran mamak serik menaikkan harga makanan walaupun kerajaan membuat penarikan subsidi barang kerana tidak mahu kehilangan pelanggan.

“Dalam situasi ekonomi yang tenat ini, tiada siapa berani naikkan harga makanan kerana pengguna sekarang sensitif. Kalau naikkan harga makanan, mereka terus tidak datang,” katanya.

Bagaimanapun keputusan terletak kepada pelanggan untuk membuat penilaian sekiranya harga di restoran terlalu “mencekik darah”. Mereka boleh memboikot dan bukannya mempersoalkannya setelah menikmati makanan itu.

“Kalau pelangan rasa makanan itu mahal, jangan pergi. Boikot sahaja restoran itu dan semak dulu harga makanan sebelum makan, tetapi kalau bising lepas perut sudah kenyang buat apa? Itu tak beretika namanya,” katanya.

Tinjauan FMT mendapati kebanyakan makanan di restoran mamak masih lagi menetapkan harga lama, di mana harga roti canai dijual sekitar harga RM1.30 hingga RM3.60 mengikut jenis roti yang ditawarkan.

Restoran mamak serik naikkan harga makanan, kata persatuan

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.