4,000 kes keganasan domestik dilapor tahun ini

4,000 kes keganasan domestik dilapor tahun ini

Punca peningkatan kes keganasan domestik adalah kerana masalah ekonomi dalam institusi keluarga, tekanan psikologi serta pengurusan keluarga yang goyah

domestic-violence
KUALA LUMPUR:
Sebanyak 4,000 kes keganasan domestik dilaporkan di seluruh negara dari Januari hingga Oktober tahun ini.

Ketua Jabatan Kecemasan dan Trauma Hospital Kuala Lumpur Datuk Seri Prof Dr Abu Hassan Asaari Abdullah berkata kes itu melibatkan keganasan rumah tangga, rogol dan penderaan kanak-kanak.

“Kes yang dirujuk ke Jabatan Kecemasan dan Trauma HKL sahaja mencatatkan peningkatan sebanyak 30% iaitu kira-kira 120 kes dalam tempoh sebulan,” katanya selepas melepaskan kira-kira 500 peserta larian ‘Kehidupan Tanpa Keganasan’ (Orange Run) di Taman Botani Perdana hari ini.

Larian itu diadakan sempena persidangan persidangan Pusat Khidmat Krisis Sehenti (OSCC) selama 2 hari bermula esok di sini.

Mengulas lanjut, Dr Abu Hassan berkata kesedaran masyarakat Malaysia terhadap isu keganasan domestik masih rendah dan perlu diberi penekanan khususnya kepada kaum lelaki dan keluarga.

Antara punca peningkatan kes berkenaan adalah kerana masalah ekonomi dalam institusi keluarga, tekanan psikologi dialami pasangan suami isteri serta pengurusan keluarga yang goyah.

“Jadi, saya amat berharap supaya masyarakat dapat menghayati kesejahteraan dalam keluarga…jika suasana di dalam rumah itu tidak tenteram, ia akan melahirkan masyarakat yang ganas dan tidak prihatin,” katanya.

Dalam usaha menangani dan membantu mangsa keganasan mengurangkan trauma, katanya 229 OSCC disediakan di hospital-hospital kerajaan di seluruh negara.

Mengenai persidangan OSCC, Dr Abu Hassan berkata ia bakal menghimpunkan 300 pakar terdiri daripada pelbagai sektor seperti Polis DiRaja Malaysia (PDRM), peguam, pakar sakit puan dan sebagainya bertujuan bagi membincangkan langkah dan pendekatan terbaharu dalam membendung masalah ini.

Dalam perkembangan lain, Ketua Jabatan Dermatologi HKL Dr Suganthi Thevarajah berkata pesakit Psoriasis, sejenis penyakit kulit kronik, perlu sedar mereka lebih berisiko tinggi menghidap penyakit darah tinggi, sakit
jantung dan kencing manis.

“Penyakit ini bukan hanya libatkan kulit, sendi dan kuku sahaja…sebaliknya mereka lebih terdedah kepada penyakit yang tidak berjangkit itu. Seperti yang kita tahu, punca utama kematian di Malaysia adalah akibat penyakit tidak berjangkit,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sambutan Hari Psoriasis Sedunia 2016 yang turut diadakan di Taman Botani Perdana.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan penghidap Psoriasis supaya mendapatkan rawatan di hospital kerana penyakit itu perlu dipantau dengan kerap agar dapat dikawal dengan sebaiknya.

“Pesakit Psoriasis dinasihatkan supaya tidak mengambil ubat-ubatan tanpa pengawasan doktor kerana ia boleh menyebabkan kesan sampingan yang buruk antaranya seperti kerosakan hati dan buah pinggang,” katanya.

Dr Suganthi berkata sehingga kini, sebanyak 2% daripada rakyat Malaysia iaitu kira-kira 600,000 orang menghidapi Psoriasis namun, hanya 14,800 pesakit sahaja yang berdaftar di hospital kerajaan sejak 2007.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.