Tubuhkan Suruhanjaya Sumbangan selia dana asing NGO, kata IDEAS

Tubuhkan Suruhanjaya Sumbangan selia dana asing NGO, kata IDEAS

CEO IDEAS berkata Akta Sumbangan dan Perbelanjaan Politik (PDEA) sedia ada hanya mengawal selia dana parti politik dan tidak boleh diperluaskan kepada NGO kerana ia entiti berbeza.

ideas-foreign-funding-1
KUALA LUMPUR:
Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS) mencadangkan kerajaan menubuhkan Suruhanjaya Sumbangan khusus untuk mengawal selia penerimaan dana asing bagi NGO.

Ketua Pegawai Eksekutif IDEAS Wan Saiful Wan Jan berkata suruhanjaya itu patut ditubuhkan, berbanding tindakan melarang NGO menerima dana asing.

“Cadangan melarang dana asing tidak perlu tetapi saya menyokong semangat di sebaliknya, iaitu meningkatkan ketelusan dan kebertanggungjawaban dalam kalangan NGO.

“Jika NGO sering menyeru soal ketelusan dan kebertanggungjawaban dalam kerajaan, maka mereka juga patut menunjukkan teladan dengan mengamalkan prinsip itu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau mengulas mengenai laporan kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Paul Low yang berkata NGO dengan “agenda politik” perlu dilarang menerima dana luar negara atas alasan risiko campur tangan asing dalam soal politik negara.

Wan Saiful berkata Suruhanjaya Sumbangan United Kingdom boleh dijadikan contoh memandangkan ketelusan mereka membentangkan maklumat kepada orang ramai serta ahli lembaga yang bebas.

“Malah kepentingan dan badan yang ada kaitan dengan ahli lembaga turut disenaraikan di laman web mereka. Suruhanjaya ini berjaya meningkatkan keyakinan orang ramai dan pemahaman kerajaan terhadap NGO,” katanya.

Sebelum ini, Low yang mengetuai Jawatankuasa Konsultatif Nasional Mengenai Pembiayaan Politik (JKNMPP) turut berkata, NGO perlu diwajibkan mendedahkan sumber dana mereka kepada umum.

JKNMPP ditubuhkan untuk menggubal undang-undang kawal selia dana kepada parti politik, melalui Akta Sumbangan dan Perbelanjaan Politik (PDEA).

Susulan pendedahan berkaitan beberapa NGO tempatan yang menerima dana daripada Yayasan Masyarakat Terbuka milik George Soros, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Azalina Othman Said berkata PDEA juga boleh diperluaskan kepada NGO.

Bagaimanapun, Wan Saiful berkata kriteria yang digunakan kepada parti politik tidak boleh dikenakan kepada NGO memandangkan kedua-duanya berbeza, dan menggesa penubuhan Suruhanjaya Sumbangan bagi mengawal selia dana NGO.

“Kebanyakan NGO bertujuan mengangkat soal seperti alam sekitar, ekonomi, kebajikan dan kesihatan. Dana yang diterima untuk menjalankan projek membangkitkan isu kepentingan rakyat Malaysia.

“Apa yang dimaksudkan dengan ‘NGO berkepentingan politik’? Adakah mana-mana organisasi yang berminat dengan soal seperti ketelusan dan tadbir urus baik juga dianggap memiliki kecenderungan politik?” soalnya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.