Jika mati, kita mati bersama, kata bekas pegawai bank terbabit kes 1MDB

Jika mati, kita mati bersama, kata bekas pegawai bank terbabit kes 1MDB

Goh memberitahu mahkamah beliau "tidak mahu" menemui Yeo dan Swampillai, selepas jam 9 malam pada 27 Mac lalu di Kelab Swiss di mana Swampillai menjadi ahli.

bsi
SINGAPURA:
Bekas pegawai bank BSI, Yeo Jiawei meminta rakan sekerjanya menipu polis mengenai sesetengah aliran dana berkaitan 1Malaysia Development Berhad (1MDB), kata saksi kepada mahkamah semalam.

Samuel Goh Sze-Wei, 41, bekas ketua agensi pengagihan di NTUC Income yang kini menganggur berkata, Yeo memberitahunya: “Jika kita berjaya melalui ini, kita akan hidup. Jika mati, kita mati bersama.”

Goh memberi keterangan dalam perbicaraan Yeo yang berdepan 4 pertuduhan menyalahgunakan proses keadilan dengan menggesa saksi berbohong kepada polis ketika diikat jamin selepas ditahan pada 17 Mac lalu berkaitan pengubahan wang haram.

Straits Times Singapura (ST) melaporkan dakwaan pengubahan wang haram, penipuan dan pemalsuan akan dikendalikan dalam perbicaraan berasingan tahun depan.

Pada 2012, Yeo didakwa meminta Goh menjadi orang tengah bagi membantu pembayaran sebuah syarikat kosong berkaitan 1MDB kepada entiti dikawal Yeo dan penyelia Yeo di BSI ketika itu, Kevin Swampillai, melalui sebuah lagi syarikat kosong, Bridge Global Managers.

Goh memberitahu mahkamah pada hari ke-4 perbicaraan yang beliau “tidak mahu” menemui Yeo dan Swampillai, selepas jam 9 malam pada 27 Mac lalu di Kelab Swiss di mana Swampillai menjadi ahli.

“Yeo kata ia adalah masa kami berjumpa untuk bergabung dan mereka cerita menerangkan seluruh skema bagaimana wang diterima Bridge Global Managers yang sebenarnya wang saya.

“Yeo kata kita perlu bekerjasama; jika kita berjaya melalui ini, kita akan hidup. Jika kita mati, kita mati bersama,” kata Goh dipetik ST.

Goh berkata, beliau menemui Yeo antara 2012 dan 2014 “apabila Yeo menghubungi mereka” dan biasanya perjumpaan itu diadakan “agak lewat selepas kerja”.

Menjawab soalan Philip Fong yang mewakili Yeo sama ada dia ingat Yeo meminta bantuannya untuk mewujudkan dana bagi Aabar Investments PJS Limited, Goh berkata, beliau tahu pelanggan itu ialah Aabar tetapi tidak tahu nama penuh ialah Aabar Investments PJS Limited.

April lalu, dana kerajaan Abu Dhabi itu menafikan sebarang kaitan dengan entiti terbabit yang mempunyai nama hampir sama dengan satu daripada unitnya, Aabar Investments PJS.

Goh akan memberi keterangan lagi pada Isnin depan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.