
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor Mohd Sani Harul berkata jabatan itu mengendalikan antara 2 hingga 4 kes bunuh diri dalam sebulan dan tahun lalu ia menyelamatkan 43 nyawa.
“Misi kami menyelamatkan mereka walau dengan apa cara sekalipun. Jika mereka hendak terjun, kami tarik mereka dan tidak akan lepaskan.
“Biasanya orang awam akan maklumkan kepada kami situasi bunuh diri bila mereka nampak seseorang berdiri di tebing bangunan tinggi,” katanya kepada FMT.
Beliau berkata dalam tempoh 10 minit, anggota pertama akan tiba dulu di lokasi untuk menghalang kejadian bunuh diri itu dan setiap anggota bomba diberikan latihan untuk mengendalikan keadaan seperti itu.
“Kami dilatih untuk cuba meredakan situasi itu dengan mendengar apa yang orang itu cakap dan cuba memahami mengapa dia hendak terjun. Kami cuba menenangkan dan memujuk mereka supaya turun dari tebing tinggi.
Sani berkata anggota bomba juga akan memenuhi permintaan daripada individu dalam situasi itu seperti beri minuman atau rokok, sementara cuba mendapatkan maklumat daripadanya mengenai diri mereka dan orang yang rapat dengan mereka.
Katanya, ini bagi membolehkan anggota bomba dapat mengesan orang kesayangan mereka untuk membantu memujuk individu terbabit supaya jangan terjun.
“Kadangkala berjam-jam masa diambil untuk menyelamatkan seseorang. Pilihan pertama kami ialah untuk selalu menghalang mereka.”
Namun, jika seseorang itu tetap hendak terjun anggota tidak ada pilihan kecuali masuk campur dan akan menarik individu terbabit dan secara tidak langsung meletakkan nyawa anggota dalam bahaya.
Tetapi anggota akan dipasang dengan tali keselamatan yang dipegang rakan anggota lain.
“Risiko terbesar ialah tali keselamatan mungkin ada masalah. Tetapi inilah jenis risiko yang menjadi sebahagian daripada tugas anggota bomba,” katanya.
Sani berkata sepanjang 5 tahun bertugas di jabatan itu belum ada kejadian tidak diingini menimpa anggota bomba.
“Syukur kami berjaya menyelamatkan setiap individu yang hendak bunuh diri setiap kali kami dipanggil,” katanya.
Beliau berkata orang ramai digesa menghubungi jabatan itu jika ternampak sesiapa yang kelihatan seperti hendak membunuh diri.
Berdasarkan laporan berita bulan lalu, Persatuan Kesihatan Mental Malaysia bimbang dengan kadar kejadian bunuh diri dalam kalangan warga bandar yang semakin meningkat.