TPM arah KPDNKK teliti cadangan mekanisme harga minyak masak

TPM arah KPDNKK teliti cadangan mekanisme harga minyak masak

Beliau berkata cadangan dan maklum balas berkaitan mekanisme itu perlu disalurkan kepada KPDNKK dan dibentangkan kepada Kabinet untuk pertimbangan.

zahid
PUTRAJAYA: Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi bersetuju dengan cadangan untuk mewujudkan mekanisme penetapan harga minyak masak.

Zahid yang juga menteri dalam negeri berkata Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) perlu meneliti cadangan mewujudkan mekanisme penetapan harga minyak masak itu demi kesejahteraan rakyat.

“Itu cadangan yang harus diteliti dengan baik oleh KPDNKK dan bukan saja daripada NGO malah maklum balas daripada media dan orang ramai juga boleh diguna pakai,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Sambutan Hari Inovasi Kementerian Dalam Negeri di sini hari ini.

Zahid, yang juga pengerusi Jawatankuasa Tertinggi Tangani Kos Sara Hidup, berkata demikian ketika diminta mengulas cadangan beberapa NGO supaya mekanisme penetapan harga minyak masak diwujudkan agar pengilang dan pembekal tidak menetapkan harga bahan itu sewenang-wenangnya hingga membebankan rakyat.

Beliau berkata cadangan dan maklum balas berkaitan mekanisme itu perlu disalurkan kepada KPDNKK dan dibentangkan kepada Kabinet untuk pertimbangan.

Mengenai kegiatan penyeludupan minyak masak, timbalan perdana menteri berkata Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (Aksem) dengan kerjasama KPDNKK akan memperhebatkan kawalan di sempadan negara bagi mengelakkan subsidi yang sepatutnya dinikmati rakyat Malaysia, mengalir ke luar negara.

Katanya, setakat ini beliau belum menerima sebarang maklumat terdapat unsur rasuah di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) di sempadan negara yang digunakan sebagai laluan untuk menyeludup bekalan bersubsidi terbabit seperti yang dilaporkan akhbar baru-baru ini.

“Kebocoran ini bukan melalui lorong rasmi, ia dibolosi melalui lorong tikus.

“Jika ada bukti (rasuah) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan mengambil tindakan sewajarnya,” katanya.

Menurutnya, pembekal minyak masak, peniaga dan pengguna juga harus sedar bahan bersubsidi seharusnya dinikmati rakyat Malaysia saja dan tidak sepatutnya mengalir ke luar negara.

 

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.