Jawatankuasa kecil Majlis Peguam akui terima dana OSF

Jawatankuasa kecil Majlis Peguam akui terima dana OSF

Ramachelvam menegaskan dana bantuan yang diterima daripada OSF tidak digunakan untuk kos operasi dan pentadbiran Majlis Peguam atau jawatankuasanya.

Malaysian Bar
KUALA LUMPUR: Jawatankuasa kecil di bawah Majlis Peguam Malaysia hari ini mengaku menerima bantuan kewangan daripada George Soros melalui Open Society Foundations (OSF) bagi menjalankan penyelidikan mengenai pekerja asing di Malaysia.

Pengerusi Jawatankuasa Migran, Pelarian dan Imigresen, Datuk M. Ramachelvam berkata, ia menerima AS$15,000 (RM53,757.13) tahun lepas bagi membiayai projek yang sedang berlangsung.

Beliau berkata jawatankuasa mengetahui berkenaan OSF mengagihkan dana bagi komitmen sebegitu dan permohonan dibuat.

“Saya mesti menjelaskan wang itu tidak digunakan untuk kos operasi dan pentadbiran Majlis Peguam atau jawatankuasa,” katanya kepada FMT sebagai tindak balas kepada dakwaan blog yang Majlis Peguam berkemungkinan menerima bantuan kewangan daripada OSF.

Beliau berkata, wang itu digunakan membayar penyelidik, jurutranskrip, pengulas, perundingan dengan pihak berkepentingan dan perbelanjaan luar jangka.

Ramachelvam berkata kajian itu adalah bagi menentukan akses terhadap keadilan termasuk tribunal buruh, kepada pekerja-pekerja asing dan amalan buruh yang baik di Malaysia.

Beliau berkata pada masa lalu jawatankuasa itu juga mendapat bantuan kewangan daripada Pertubuhan Buruh Antarabangsa untuk menjalankan kerja-kerja berkaitan dengan pekerja asing.

“Kami juga bekerjasama rapat dengan organisasi global seperti pejabat Pesuruhjaya Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Pelarian (UNHCR) untuk manfaat pekerja asing,” katanya.

Portal berita Malaysiakini dan kumpulan pemantau pilihan raya Bersih baru-baru ini didakwa menerima pembiayaan daripada OSF.

Pada 1 November lalu, Jaringan Melayu Malaysia (JMM) membuat laporan polis dan menyerahkan dokumen “rahsia” 24 halaman kepada polis.

Maklumat itu didakwa menunjukkan penglibatan seorang ahli perniagaan tempatan dan Soros membiayai Bersih melalui OSF, dengan niat jahat untuk menggulingkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.