Imam ditahan selepas seru bunuh Muslim tak solat jemaah

Imam ditahan selepas seru bunuh Muslim tak solat jemaah

Pendakwa raya Zurich berkata imam itu ditahan susulan dalam khutbahnya, dia menyeru supaya Muslim yang enggan menyertai solat berjemaah di masjid itu dibunuh.

swiss
GENEVE:
Polis menahan imam di sebuah masjid kontroversi berhampiran Zurich di sini, semalam selepas beliau didakwa menggesa pengikutnya untuk membunuh umat Islam lain yang enggan menyertai solat berjemaah.

Dalam satu kenyataan, pendakwa raya Zurich berkata imam Masjid An’Nur de Winterhour yang juga warganegara Ethiopia, ditahan kerana menghasut berbuat keganasan.

Ketika menyampaikan khutbah pada 21 Oktober, imam itu “menyeru pembunuhan Muslim yang enggan menyertai solat berjemaah di masjid itu”, menurut kenyataan pendakwa raya, menambah siasatan jenayah sudah dilakukan.

Tiga pengikut imam terbabit juga ditahan dan disiasat tetapi pendakwa raya berkata masih “tidak jelas” apa peranan mereka dalam dakwaan seruan terhadap keganasan itu.

Polis Zurich turut menyerbu masjid itu pada Isnin lepas dan menahan 3 lelaki lain berumur antara 23 hingga 35 – kerana disyaki melanggar undang-undang imigresen.

Media Swiss kerap melaporkan mengenai masjid itu yang dikatakan memainkan peranan dalam membentuk belia Islam menjadi radikal.

Menurut laman web berita 20min.ch,, imam berkenaan mula bekerja di masjid itu baru-baru ini, menggantikan penyandangnya yang dipaksa meninggalkan jawatannya kerana didakwa berceramah mengenai ekstremisme.

Media Swiss turut melaporkan yang tuan tanah bangunan itu tidak mahu melanjutkan tempoh sewaan kepada masjid itu, mungkin memaksa penutupannya pada akhir tahun ini.

 

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.