SRC International akan dapatkan balik wang daripada BSI Bank, kata menteri

SRC International akan dapatkan balik wang daripada BSI Bank, kata menteri

Sebelum ini, BSI Bank diarah tutup berikutan pelanggaran syarat antipengubahan wang haram.

johari
KUALA LUMPUR: SRC International Sdn Bhd kini dalam proses mendapatkan balik wang yang disimpan di BSI Bank Ltd (BSI Bank), kata Menteri Kewangan II Datuk Johari Abdul Ghani.

“Kami sedang berusaha melalui pelbagai cara untuk mandapatkan wang yang telah disimpan di BSI Bank,” katanya kepada pemberita pada Sidang Kemuncak Pasaran Modal Malaysia Ke-21 anjuran Institut Kepemimpinan Strategik Asia hari ini.

Johari berkata, beliau dimaklumkan oleh pengurusan SRC International yang wangnya disimpan di BSI Bank tetapi mempunyai masalah untuk mendapatkannya kembali.

Menteri itu berkata, perkara itu sedang disiasat dan beliau tidak dapat mendedahkan butiran terperinci.

Pada 24 Mei lepas, Pihak Berkuasa Kewangan Singapura berkata, ia mengarahkan penutupan BSI Bank milik Switzerland di republik berkenaan berikutan perlanggaran serius syarat antipengubahan wang haram, pengawasan pengurusan operasi bank yang lemah serta salah laku serius oleh sebahagian kakitangan bank berkenaan.

Ditanya mengenai penutupan BSI Bank, Johari berkata, “BSI Bank tidak ditutup, ia dijual kepada entiti lain.”

“BSI masih di sana, oleh itu sebarang dana yang mereka (SRC International) telah laburkan, kita sedang menelitinya,” katanya.

SRC International ditubuhkan pada awal 2011 untuk meneroka pelaburan strategik di seberang laut dalam sumber tenaga.

Sebelum ini ia adalah anak syarikat 1Malaysia Development Bhd (1MDB) tetapi diambil alih Kementerian Kewangan berikutan program penstrukturan semula 1MDB.

 

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.