
Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang juga menteri dalam negeri berkata, ia harus disiasat secara emperikal, iaitu berdasarkan pemerhatian dan ujian saintifik.
“Soalnya bukan ‘siapa’ dibiayai dan ‘kenapa’. Apa yang harus ditanya ialah penglibatan pihak luar dalam politik negara.
“Ini kerana, politik Malaysia mengikut acuan yang sesuai dengan politik negara kita. Tidak perlulah, jika benar melibatkan pihak luar, apatah lagi pembiayaan aktiviti politik sama ada menentang atau menyokong mana-mana organisasi atau individu,” katanya pada pelancaran buku bertajuk ‘Being Abdullah Badawi’, hari ini.
Menurut laporan media hari ini, sebuah kumpulan asing dipengerusikan Soros membiayai beberapa organisasi tempatan dalam programnya mempengaruhi keputusan pilihan raya umum akan datang.
Mengenai gesaan beberapa pemimpin tempatan supaya siasatan dijalankan ke atas organisasi terlibat, Zahid berkata, ia akan dilakukan sekiranya terdapat laporan polis.
“Biar laporan polis dilakukan. Kita juga akan lakukan tindakan sebagaimana saranan itu. Kita tidak tertakluk pada sebarang spekulasi atau saranan,” katanya.