
Menteri besarnya berkata, skim itu akan membantu golongan berpendapatan sederhana menyewa, sebelum mereka mampu membeli rumah di Selangor.
“Tempoh sewa minimum adalah 2 tahun dan maksimum 5 tahun. Menerusi program ini, penyewa akan mendapat balik 30% jumlah sewaan yang dibayar apabila mereka tidak lagi tinggal di unit berkenaan.
“Pengembalian 30% sewa boleh dijadikan wang pendahuluan untuk membeli Rumah Selangorku,” katanya ketika membentangkan Belanjawan Negeri 2017 di Dewan Undangan Negeri (DUN) hari ini.
Azmin berkata, untuk tujuan itu, kerajaan negeri sudah membeli 134 unit kediaman di lokasi strategik untuk dijadikan rumah sewa kepada pemohon yang layak.
Beliau berkata, bagi 2017, kerajaan negeri menyediakan RM100 juta untuk memperluaskan lagi Skim Smart-Sewa.
“Peruntukan itu diberikan melalui Tabung Amanah Pengecualian Syarat Kuota Bumiputera dan Pengecualian Sumbangan Pembinaan Rumah Kos Rendah, Kos Sederhana Rendah dan Rumah Kos Sederhana,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Tetap Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Kehidupan Bandar, Datuk Iskandar Abdul Samad berkata, 100 juta peruntukan yang disediakan kerajaan negeri itu boleh digunakan untuk membina 800 hingga 1,000 unit rumah.
“Kalau mereka sewa di luar, mereka tidak dapat apa-apa. Tetapi, jika menyewa melalui Skim Smart-Sewa, mereka akan dapat pulangan 30% daripada sewa dibayar.
“Pulangan 30% itu boleh digunakan untuk membeli Rumah Selangorku,” katanya.