Loji air ditutup kerana ‘muslihat politik’, dakwa exco Selangor

Loji air ditutup kerana ‘muslihat politik’, dakwa exco Selangor

Ean Yong Hian Wah berkata, ada pihak berniat menggunakan isu itu untuk merosakkan kerajaan negeri Selangor dan pensabotaj yang tidak dapat meneruskan rancangan mencemarkan sungai di Selangor, beralih ke negeri lain untuk melakukan kerosakan.

Ean-Yong-Hian-Wah
PETALING JAYA:
Seorang exco Selangor mendakwa penutupan loji rawatan air (LRA) di negeri itu disebabkan pencemaran sungai adalah “muslihat politik” yang berniat menggunakan isu berkenaan untuk merosakkan kerajaan negeri.

Ean Yong Hian Wah yang dipetik Sin Chew Daily berkata, hasil siasatan mendapati 3 kali pencemaran sungai berpunca daripada bahan kimia sama, membabitkan sebuah kilang haram di Selangor dan 2 kali lagi air sungai tercemar mengalir dari negeri lain ke Selangor.

Adun Seri Kembangan itu berkata, pemantauan yang dijalankan kerajaan negeri selepas mengesan sebuah kilang haram melakukan pencemaran, menyebabkan pensabotaj tidak dapat meneruskan rancangan mereka di Selangor dan beralih ke negeri lain untuk melakukan kerosakan.

Sehubungan itu, pengerusi jawatankuasa tetap pembangunan kampung baru dan penyelesaian kilang haram Selangor itu berkata, kerajaan negeri tidak patut dipersalahkan atas masalah gangguan bekalan air yang dihadapi penduduk Selangor.

“Kalau tidak ada kilang-kilang haram di Selangor sekalipun, air tetap akan tercemar jika ada orang berniat mensabotaj,” katanya yang menafikan sumber bekalan air kerap tercemar disebabkan kerajaan negeri tidak mengawal kewujudan kilang haram.

Beliau bagaimanapun tidak menafikan ada kilang haram di sekitar sumber bekalan air, tetapi ada yang terletak di kawasan terpencil dan tidak mudah dikesan, menyebabkan pihak berkuasa terlepas pandang, walaupun penguatkuasaan sering dijalankan.

Masalah gangguan bekalan air berlaku di sekitar Selangor dan Kuala Lumpur, ekoran penutupan LRA Semenyih, Langat dan Cheras sejak bulan lalu, akibat pencemaran bau di Sungai Semenyih dan Sungai Semantan di Pahang.

Akhir bulan lalu, Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) menggantung seorang pekerjanya pada 6 September lalu kerana disyaki terlibat dalam perbuatan khianat menyebabkan gangguan bekalan air hingga menjejaskan 340,000 pengguna di Klang dan Petaling, 1 September lalu.

PAUTAN:

Sabotaj bekalan air, kakitangan Air Selangor digantung

Loji Sg Semenyih tercemar sekali lagi, ditutup 7.30 pagi tadi

Jabatan Alam Sekitar muncul selepas 10 jam, ‘pathetic’, kata Azmin

Penduduk nafi Sungai Semantan punca bekalan air di Selangor tercemar

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.