
Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM, Datuk Shamsun Baharin Mohd Jamil berkata, kebanyakan mereka terdiri daripada golongan berada, mempunyai pekerjaan tetap dan kedudukan kewangan stabil.
“Mereka ini bersikap tamak, nak hidup mewah, nak pakai kereta mewah, sebab itu mereka ambil rasuah,” katanya selepas majlis penghargaan kepada saluran televisyen Astro Oasis yang menjalin kerjasama dengan SPRM dalam usaha pencegahan rasuah, di Ibu Pejabat SPRM, hari ini.
Shamsun berkata, berdasarkan statistik SPRM, seramai 1,045 daripada 1,092 orang yang ditahan sejak 2013 kerana melakukan jenayah rasuah adalah golongan berumur 40 tahun ke bawah.
Perkembangan ini, katanya, amat membimbangkan kerana golongan ini merupakan kumpulan pelapis kepimpinan negara masa depan.
Beliau berkata, tangkapan rasuah dalam kalangan penjawat awam berumur di bawah 40 tahun juga semakin meningkat, iaitu seramai 206 orang tahun lalu berbanding 136 orang pada 2014 dan hanya 96 orang pada 2013.
Sehubungan itu, Shamsun berkata, SPRM menggunakan pendekatan peserta rancangan ‘Pencetus Ummah’ ke-4 di Astro Oasis yang terdiri daripada belia berumur 18 sehingga 41 tahun bagi menyampaikan dakwah berkaitan integriti, khususnya dalam menangani rasuah.
“Mereka lebih memahami rakan sebaya, jadi mungkin platform ini akan lebih berkesan dalam menyampaikan maklumat berkaitan hukuman rasuah dan sebagainya untuk memberi kesedaran kepada penonton, khususnya yang beragama Islam,” katanya.
Beliau berkata, seramai 9 peserta ‘Pencetus Ummah’ terlibat dalam rancangan tazkirah khas pencegahan rasuah melibatkan 7 episod, bermula 27 Oktober ini sehingga 8 Disember nanti.
Bagi mengelakkan masalah rasuah menjadi semakin parah, Shamsun berkata, pihaknya turut mengadakan kempen pencegahan rasuah di peringkat sekolah dan universiti.
“Pada tahun ini, kami memasukkan silibus pencegahan rasuah dalam buku teks murid darjah 6 dan akan memasukkan silibus ini ke dalam kurikulum pelajar sekolah menengah secara berperingkat demi memberi kesedaran tentang keburukan rasuah dalam diri setiap individu dari peringkat awal lagi,” katanya.
Kerjasama antara SPRM dan Astro Oasis antara lain melibatkan penyebaran mesej pencegahan rasuah dan pembinaan integriti yang jitu dalam kalangan umat Islam, selain menyiarkan kandungan program yang bakal mengupas dan mendedahkan pelbagai aspek mengenai integriti diri, rasuah dan pencegahannya dengan menyorot kisah teladan dari kini sehingga zaman Nabi Muhammad serta sahabatnya.
Turut hadir ialah Pengarah Bahagian Pendidikan Masyarakat SPRM, Abdul Samat Kasah dan Pengurus saluran televisyen Astro Oasis, Ahmad Fuad Mat Ali.