
“Perkara ini tidak berlaku sama sekali,” kata Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) APM, Datuk Selamat Dahalan.
Astro Awani melaporkan salah seorang peserta program kursus motivasi di Kuala Kangsar, Perak itu berkata, jurulatih APM mengejutkan mereka daripada tidur pada jam 2 pagi dan diarahkan berkawat.
“Jurulatih kata kalau kubur orang Kristian duduk sebelah gambar, kalau kubur orang Melayu kena pegang batu nisan.
“Saya terlalu takut lepas tu menangis, saya macam trauma sebab lepas balik tu saya menangis teringat semua benda yang jadi kat program APM,” kata murid yang enggan didedahkan identitinya itu.
Sementara itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim berkata, semua modul bina diri untuk unit beruniform APM bagi sekolah rendah akan dikaji semula.
Beliau berkata, keperluan untuk mengkaji semula modul itu dibuat bagi memastikan hanya modul sesuai dilaksanakan untuk mengelak perkara tidak diingini berlaku.
“Kita mungkin akan menjalankan latihan (modul) kepada guru sekolah dan kemudian mereka (guru) melaksanakannya kepada pelajar dalam kokurikulum.
“Namun, tidak dinafikan ada kekangan untuk melaksanakan ini, tetapi kita akan mencari penyelesaian terbaik,” katanya selepas mengadakan pertemuan dengan ibu bapa, guru dan murid Sekolah Kebangsaan (SK) Beluru, hari ini.
Pertemuan khas itu diadakan bagi memberi penerangan dan penjelasan berhubung kes ular dicampak ke dalam kolam semasa modul merentasi kolam dalam program perkhemahan unit beruniform APM SK Beluru.
Beberapa hari lalu, satu rakaman video lebih 2 minit tersebar di media sosial dan mendapat kritikan netizen apabila beberapa murid di dalam kolam berselut itu menangis dan menjerit, selepas jurulatih mencampakkan ular ke dalamnya.
Rakaman itu juga menunjukkan beberapa anggota APM menyiram air dan menyergah pelajar sepanjang modul itu. Seramai 45 murid menyertai program perkhemahan itu di perkarangan pejabat APM Kuala Kangsar.
Shahidan berkata. pihaknya tidak bercadang menghentikan program perkhemahan unit beruniform APM, tetapi hanya modul merentasi kolam digantung serta-merta.
“Program ini ada banyak modul, bukan hanya lompat pagar, tetapi ada juga modul kerohanian. Kita tak boleh hentikan kerana ia diatur untuk tingkatkan jati diri pelajar,” katanya.
Mengenai tindakan ke atas anggota APM terbabit, Shahidan berkata, seramai 10 anggota APM digantung tugas setakat ini.
“Seorang daripadanya yang mencampakkan ular ke dalam kolam digantung daripada semua kerja APM. Sembilan yang lain digantung terlibat dalam latihan APM membabitkan sekolah,” katanya sambil menambah semua yang terlibat merupakan anggota sukarelawan.