Pertubuhan doktor Islam puji langkah pertahan keselamatan petugas kesihatan

Pertubuhan doktor Islam puji langkah pertahan keselamatan petugas kesihatan

Imam berkata ugutan dan makian terhadap petugas kesihatan yang bekerja tanpa rehat adalah tidak wajar.

ppim
KUALA LUMPUR:
Sebuah pertubuhan doktor Islam hari ini menyambut baik kenyataan Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah untuk bertindak ke atas mana-mana pihak yang mengancam keselamatan petugas kesihatan.

“Kebanyakan mereka menghabiskan dan mengorbankan sebahagian besar masa mereka untuk kesihatan rakyat negara. Ada yang bekerja 36 jam berterusan dan juga hujung minggu untuk menjaga kesihatan rakyat,” kata Presiden Persatuan Perubatan Islam Malaysia (Imam), Dr Jeffrey Abu Hassan dalam satu kenyataan kepada FMT.

“Sangat tidak wajar mereka diperlakukan dengan kasar sama ada dari segi fizikal, ucapan yang kurang sopan mahupun secara emosi.”

Sebelum ini, Timbalan Pengarah Kesihatan Datuk Dr S Jeyaindran menerima kecaman selepas menganggap serangan ke atas seorang doktor di Hospital Serdang baru-baru ini sebagai satu “pengajaran”.

Pada 7 Oktober, Dr Thanenran Renganathan yang bertugas di hospital berkenaan dicekup dan direbahkan ke atas lantai oleh sepasukan polis elit anti-jenayah, selepas menyangka beliau salah seorang jenayah yang dikehendaki.

Dr Thanenran ketika itu lengkap berpakaian doktor dengan stetoskop di lehernya, namun rayuan rakannya kepada pihak polis melepaskannya tidak diendahkan.

Imam turut menyelar penulisan di media tradisi dan media sosial yang memaki petugas kesiahatan dengan pelbagai ugutan.

“Perkara ini bukan sahaja tidak wajar malah boleh menjejaskan prestasi dan mutu perkhidmatan yang disediakan. Petugas kesihatan adalah juga manusia yang punya emosi dan perasaan,” kata Dr Jeffrey.

“Kami mengharapkan yang rakyat menghargai mereka yang berkorban untuk kesihatan kita bersama. Sebarang aduan atau cadangan boleh diajukankan kepada saluran-saluran tertentu seperti Biro Aduan/Perhubungan Awam yang berada di setiap pusat kesihatan.”

Pautan:

Pasukan elit polis silap cekup doktor muda di Hospital Serdang

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.