
Datuk Seri Nazri Aziz berkata, sebagai umat Islam, beliau tidak tersinggung dengan nama itu dan kepercayaannya juga tidak akan terjejas hanya kerana memakan “hotdog”.
Ahli Parlimen Padang Rengas itu berkata, “hotdog” sentiasa dikenali sebagai snek barat dan ia adalah istilah bahasa Inggeris.
“Malah, saya rasa saya mahu makan ‘hotdog’ sekarang.
“Tolong jangan nampakkan kita begitu bodoh dan kuno untuk bercakap pasal mengubah nama itu. Malah, dalam bahasa (Malaysia) kita kata ia adalah ‘hotdog’, kita tak kata anjing panas,” katanya di lobi Parlimen, hari ini.
Beliau mengulas laporan media mengenai tindakan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) tidak memberi sijil halal kepada rangkaian francais menjual pretzel, Auntie Anne dengan alasan salah satu produknya dinamakan “pretzel dog”.
Eksekutif Jaminan Kualiti dan Halal Auntie Anne, Farhatul Kamilah Mohamed Sazali menerusi Facebooknya berkata, syarikat itu sudah menghantar beberapa nama lain dan sedang menunggu keputusan panel Jakim.
Bukan itu sahaja, FMT semalam melaporkan, makanan kegemaran ramai seperti “Coney Dog” juga terpaksa dijenamakan semula, selain minuman tin “Root Beer” dan “Ginger Beer”.
Penolong Pengurus Jaminan Kualiti dan Halal A&W, Shahidah Wahid, mengesahkan penukaran nama itu 2 tahun lalu dan berkata, menu utama rangkaian makanan segera itu seperti “Coney Dog” dan “Root Beer” kini ditukar kepada “Chicken Coney” atau “Beef Coney”, serta “Root Beer” yang dikenali sebagai “RB”.
“Kita tukar sebab nama itu ada konflik kalau kita nak mohon sijil halal,” kata Shahidah.
Sementara itu, Ketua Pemuda PAS, Nik Mohamad Abduh Nik Aziz berkata, dalam kes ini, aspek halal perlu ditumpukan terhadap kandungan makanan itu, bukan namanya.
Ahli Parlimen Pasir Mas itu berkata, nama itu tidak akan mengelirukan umat Islam kerana ramai sudah tahu ia adalah nama makanan.
“Halal haram bukan pada nama, janji isinya halal. ‘Hotdog’ ni orang kenal lama dah. Nanti saya pergi makan dekat kedai itulah.”
Pautan:
Syarat halal Jakim, tiada lagi ‘Coney Dog’ dan ‘Root Beer’ di Malaysia
Nama ‘anjing’ antara penghalang Auntie Anne dapat sijil halal