Priyanka mohon maaf selepas pakai baju ‘remehkan’ isu pelarian

Priyanka mohon maaf selepas pakai baju ‘remehkan’ isu pelarian

Bintang Bollywood itu berkata mesej tersebut cuba menangani perkauman tetapi disalah faham dan memohon maaf.

priyanka-chopra
NEW DELHI:
Bintang Bollywood Priyanka Chopra semalam memohon maaf selepas gambar muka depan sebuah majalah pelancongan memaparkannya memakai baju yang tidak sensitif terhadap komuniti pelarian dan pendatang.

Gambar bekas ratu cantik dunia berusia 34 tahun itu tertera pada muka kulit majalah Conde Nast Traveller India edisi Oktober, memakai baju T dengan perkataan “REFUGEE” (pelarian), “IMMIGRANT” (pendatang) dan “OUTSIDER” (orang asing) yang dipalang, dan dibiarkan perkataan “TRAVELLER” (pengembara).

Kiriman Twitter majalah itu pada Oktober 7 berkata Priyanka tampil dengan kenyataan berani “sempena ulang tahun ke-6 kami”.

Bagaimanapun, ia mengundang ledakan kritikan daripada pengguna Twitter yang berkata Priyanka memperkecilkan nasib pelarian yang dipaksa meninggalkan tanah air mereka.

Priyanka, yang disenaraikan antara 100 Orang Paling Terpengaruh oleh majalah Time dan merupakan duta Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unicef), berkata mesej tersebut cuba menangani perkauman tetapi disalah ertikan.

Menurutnya, majalah Conde Nast menempah baju T itu khas buatnya.

“Menurut mereka, ia bagi menangani isu perkauman yang merupakan isu besar,” Priyanka memberitahu NDTV.

“Dan saya diyakinkan mengenainya. Saya benar-benar kesal perasaan diguris… Majalah itu berniat baik.”

Lebih 1.3 juta orang di Afrika dan Timur Tengah yang melarikan diri daripada peperangan dan kemiskinan tiba di Eropah tahun lalu, mencetuskan krisis pelarian terbesar benua itu sejak Perang Dunia Kedua. Beribu-ribu pelarian juga terbunuh dalam perjalanan termasuk lemas di lautan.

“Saya faham apa kamu cuba katakan, tetapi kamu meremehkan isu serius mengenai pelarian,” kata kiriman tweet daripada @1plur1.

“Sangat tidak sensitif di kala berdepan krisis pelarian yang paling besar. Semua pilihan lain dipaksa ke atas mereka, bukan pilihan,” kata @savita-pawnday merujuk perkataan yang dipalang.

Beberapa pengguna Twitter pula mengirim imej dengan perkataan “COMPASSION”, “EMPATHETIC” dan “INCLUSIVE” dipalang, meninggalkan perkataan “OFFENSIVE” (menghina).

Conde Nast Traveller dalam kenyataannya berkata ia bertujuan menyangkal stereotaip dan melabel orang sebagai pelarian, pendatang dan orang asing yang menurutnya menggalakkan perkauman..

Priyanka merupakan antara bintang India yang berjaya menembusi Hollywood, dan bakal membintangi dalam siri drama Baywatch.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.