
“Kami masih belum teliti perincian usul itu tetapi pastinya ia akan dibincangkan dalam kalangan ahli Parlimen Pakatan Harapan.
“Saya berharap kita boleh capai pendirian bersama berkenaan perkara itu,” katanya kepada pemberita dalam sidang media di pejabat menteri besar Selangor.
Ahli Parlimen Gombak itu tiada isu dengan langkah Amanah itu, yang dibuat tanpa merujuk komponen pakatan pembangkang yang lain.
“Perbincangan mengenainya masih berjalan. Adakalanya terdapat perkara yang memerlukan parti menetapkan pendirian dan pendirian itu akan dibincangkan dalam Pakatan Harapan.
“Pada saya proses itu sesuatu yang sihat dan kita akan bincang dalam Pakatan.”
Semalam, Amanah mengumumkan mereka akan membawa rang undang-undang peribadi yang akan menjadi alternatif kepada usul Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang, yang mahu mencadangkan Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) atau Akta 355 dipinda.
Usul Hadi itu berhasrat untuk meningkatkan kuasa mahkamah syariah, terutamanya dalam perkara hukuman. Pengkritik mendakwa ia membuka jalan kepada pelaksanaan hudud, tetapi PAS menafikannya.
Usul Hadi itu dilihat sebagai cubaan untuk membolehkan pelaksanaan hukuman hudud di Kelantan yang diperintah PAS.