
Bercakap kepada wartawan hari ini di Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS), Shafie, yang akan memegang jawatan presiden Warisan, berkata pendaftaran parti itu sudah diluluskan.
Wakil rakyat Sempporna dan bekas menteri itu turut mengumumkan bekas naib presiden PKR, Darell Leiking sebagai timbalan presiden, manakala bekas presiden Kadazan Dayak Murud Malaysia, Datuk Peter Anthony, bekas naib ketua Umno Semporna, Jaujan Sambakong dan bekas setiausaha DAP Sabah, Junz Wong dinamakan naib presiden.
Jawatan setiausaha agung Warisan pula akan dipegang peguam Loretto S Padua Jr.
Shafie berkata Warisan sedia bekerjasama dengan semua pihak termasuk parti pembangkang lain dengan matlamat menewaskan Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum akan datang.
“Apa yang penting bukan menyatupadukan parti tetapi menyatupadukan rakyat.
“Anda boleh menubuhkan beribu-ribu parti tetapi ia tidak berguna jika rakyat tidak bersatu,” katanya di pejabat RoS, ditemani Leiking dan Adun Moyog, Terence Siambun.
Pada 4 Julai, Shafie yang merupakan bekas naib presiden Umno mengumumkan keluar parti Melayu itu selepas keahliannya digantung pada Jun 24 kerana dituduh bersekongkol dengan pembangkang.
Shafie bersama Tan Sri Muhyiddin Yassin dipecat daripada kabinet tahun lalu selepas kedua mereka mempersoalkan hutang ditanggung 1MDB.
Beliau sebelum ini enggan menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) yang ditubuhkan Muhyiddin dan dipengerusikan Tun Dr Mahathir Mohamad.