Buli: Lihat kaedah lain sebelum laksana gantung sekolah, kata Azizah

Buli: Lihat kaedah lain sebelum laksana gantung sekolah, kata Azizah

Tindakan menggantung persekolahan pelajar selama setahun tidak semestinya akan memperbaiki keadaan.

buli-2
KUALA LUMPUR:
Cadangan menggantung persekolahan selama setahun terhadap pembuli memerlukan perbincangan mendalam sebelum sebarang keputusan dibuat.

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Azizah Mohd Dun berkata pihak berkaitan termasuk wakil kanak-kanak, ibu bapa dan badan bukan kerajaan perlu duduk berbincang mengenai cadangan itu bagi mencari penyelesaian terbaik.

Beliau berkata tindakan menggantung persekolahan pelajar selama setahun tidak semestinya akan memperbaiki keadaan dan mungkin terdapat kaedah lain bagi menyelesaikan masalah buli di sekolah secara keseluruhan.

“Tindakan memang perlu diambil kerana kita tidak boleh membenarkan anak-anak kita di Malaysia ini menjadi pembuli, namun perbincangan secara serius perlu dibuat supaya tindakan dan situasi menang-menang dapat dicapai,” katanya kepada pemberita di Lobi Parlimen di sini, hari ini.

Katanya sebarang tindakan juga perlu berlandaskan undang-undang mengikut Akta Kanak-Kanak (Pindaan) 2016.

Semalam, Menteri Pendidikan Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata kementeriannya bercadang agar pelajar yang membuli pelajar lain digantung persekolahan mereka selama setahun sebagai pengajaran kepada pelajar.

Mahdzir berkata selama tempoh penggantungan, pelajar akan dilibatkan dengan kerja kebajikan atau memasuki pusat pemulihan akhlak sebagai syarat untuk diterima masuk semula ke sekolah.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.