
Setiausaha Agung NUBE J Solomon berkata institusi kewangan dan bank perlu tahu yang tidak semua pelanggan memahami kaedah menggunakan perbankan Internet, sekiranya cawangan tertentu ditutup.
Beliau berkata bank juga tidak sepatutnya secara keterlaluan melaksanakan perbankan Internet bagi semua transaksi dan urusan bank.
“Adakah seluruh penduduk di sekitar cawangan berkenaan hendak guna online? Tidak. Bukan saja anda menyusahkan penduduk tetapi menyebabkan pekerja di sana tidak gembira.
“Perniagaan juga sama. Kadangkala perbankan Internet di luar bandar tidak efisien. Bila offline, ia akan lebih menyusahkan. Keadaan sama jika pelanggan perlu membuat transaksi dengan cepat,” katanya kepada FMT.
Beliau berkata demikian ketika mengulas kenyataan Persatuan Bank-bank Malaysia (ABM) dan Persatuan Institusi Perbankan Islam Malaysia (ABIM) yang berkata penutupan cawangan bank merupakan usaha berterusan bagi meningkatkan keberkesanan operasi institusi kewangan itu.
Persatuan itu dalam satu kenyataan bersama berkata kemajuan dan perkembangan dalam teknologi serta pembayaran elektronik membolehkan kemudahan menjalankan transaksi perbankan tanpa perlu mengunjungi cawangan bank fizikal.
Solomon berkata kerajaan pada awalnya mahu memastikan banyak cawangan bank supaya ia boleh membantu perniagaan dan masyarakat di luar bandar.
Katanya, bank juga sepatutnya mengenang peranan pekerja yang memberi keuntungan bersama dengan pelanggan.
“Tanpa pekerja, bank pun tak boleh buat keuntungan. Pekerja selama ini beri keuntungan dan jangan tiba-tiba bank tutup cawangan, tidak pedulikan sumbangan pekerja,” katanya.