PAS: Amanah hendak selamatkan Umno, jatuhkan kerajaan Kelantan

PAS: Amanah hendak selamatkan Umno, jatuhkan kerajaan Kelantan

Idris berkata, jika ikhlas menumbangkan Umno, Amanah sepatutnya memfokuskan negeri ditadbir BN, bukannya menjatuhkan PAS di Kelantan.

idris-ahmad_amanah_pas_600
PETALING JAYA:
PAS hari ini mendakwa Amanah mempunyai niat tersembunyi hendak menyelamatkan Umno di Kelantan dengan memburuk-burukkan dan menjatuhkan kerajaan pimpinan PAS.

Idris Ahmad berkata, jika ikhlas menumbangkan Umno, Amanah sepatutnya memfokuskan negeri ditadbir Barisan Nasional, bukannya menjatuhkan PAS di Kelantan.

“Lama dah puak-puak ini (Amanah) tuduh PAS nak bekerjasama dengan Umno, tapi sampai sekarang PAS tak jadi Umno lagi. Kalau orang nak lawan Umno betul-betul, dia tak akan tumbangkan PAS di Kelantan, dia akan serang Umno di Terengganu, dia akan lawan Umno di Melaka dan lain-lain negeri.

“Tindakan itu jelas menunjukkan siapa sebenarnya nak bekerjasama dengan Umno nak jatuhkan PAS. Amanah sebenarnya nak menyelamatkan Umno di Kelantan dengan memburuk-burukkan PAS supaya senang Umno kalahkan PAS,” katanya kepada FMT hari ini.

Ahli Parlimen Bukit Gantang itu menjawab tuduhan Penasihat Amanah Kelantan, Datuk Husam Musa kononnya PAS marah dengan parti itu kerana menyekat mereka bekerjasama dengan Umno sejak 2008.

Katanya, PAS bimbang jika mereka meneruskan hasrat itu, ahli yang tidak bersetuju dengan hasrat pimpinan parti Islam itu akan melompat ke Amanah.

Musa berkata, rundingan terbaharu antara PAS dan Umno dibuat dalam bentuk perbincangan di Kluster Politik Negara, Majlis Perundingan Islam (MPI) yang dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan disertai pemimpin PAS, termasuk Ketua Penerangan Dewan Ulamanya, Datuk Dr Khairuddin Aman Razali.

Idris berkata, Amanah sepatutnya menggunakan hujah lebih konkrit atau alasan lebih kukuh untuk menuduh PAS bersekongkol dengan Umno.

“Janganlah diangkat sangat (isu MPI), kalau nak marah pada PAS, janganlah guna hujah macam itu, hujah itu biarlah konkrit sikit, dulu kata Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang pakai baju sedondon dengan Datuk Seri Najib Razak dalam multaqa ulama, kalau dah hilang punca pun biarlah ada alasan besar sikit.

“Kenapa dia (Amanah) tak kaitkan NGO-NGO lain sertai MPI? Sebenarnya, orang tak jemput Amanah sertai (MPI) mungkin ada benda tak kena pada parti itu, orang jemput dan letak orang yang layak dalam MPI macam Datuk Mahfodz Mohamed, bukan semua orang layak,” kata Idris.

Selain Zahid, Timbalan Pengerusi Kluster Politik MPI ialah Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir dan Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob.

Ketua Penerangan Dewan Ulamanya, Datuk Dr Khairudin Aman Razali dan Dr Zuhdi Marzuki yang juga Pengarah Pusat Penyelidikan parti itu turut mewakili PAS ke MPI.

Pautan:

PAS marah Amanah halangnya kerjasama dengan Umno, dakwa Husam

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.